PESAKIT COVID-19 DARI MELAKA, DIPINDAHKAN KE MAEPS

ALOR GAJAH: Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) akan menerima pesakit positif dari Melaka, memandangkan Hospital Melaka kini tidak lagi mampu menampung jumlah pesakit.
Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata Hospital Melaka yang berkapasiti 200 katil dan satu-satunya pusat kuarantin di Melaka, tidak mampu memenuhi keperluan semasa susulan peningkatan kes positif secara mendadak di negeri itu.
“Bila berlakunya peningkatan kes COVID-19, seperti kelmarin 70 kes, semalam 50 kes, sudah pasti hospital itu tidak boleh menampung jumlah mereka yang positif,” katanya selepas menyampaikan bantuan kerajaan negeri kepada 530 murid sekolah rendah bagi sesi akademik 2021, di sini hari ini.
Menurut Sulaiman, dua PKRC sebelum ini, iaitu Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi Jabatan Kerja Raya serta Akademi Latihan Jabatan Pengangkutan Jalan, kini kembali beroperasi mengikut fungsi asal masing-masing.
Dalam masa yang sama, kerajaan negeri turut bercadang menjadikan beberapa hotel di negeri itu sebagai pusat kuarantin sebagai langkah terakhir sekiranya keadaan memerlukan.
Melaka mencatatkan peningkatan mendadak kes harian dengan 50 kes dilaporkan semalam dan 70 kes pada Jumaat lepas, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di negeri itu sebanyak 1,548 kes sejak Mac tahun lepas.—AlHijrah Online