BAYI USIA SEBULAN CEDERA PARAH DISERANG KERA

BUTTERWORTH: Seorang bayi lelaki berusia sebulan cedera parah di kepala, perut dan pipi selepas digigit seekor kera di rumah keluarganya di Kampung Manggis, Butterworth, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara SPU ACP Noorzainy Mohd Noor berkata bayi itu diserang dan digigit kera berkenaan ketika sedang berada di atas tilam di ruang tamu.

Berdasarkan maklumat daripada ibu bayi, anak lelakinya itu baru bangun tidur dan dia ke dapur untuk membuat susu untuk bayinya.

Noorzainy berkata, siasatan mendapati rumah kampung itu didiami lima sekeluarga iaitu ibu bapa bayi berkenaan, nenek dan bapa saudara mangsa.

Namun ketika kejadian hanya ibu dan nenek mangsa berada dirumah, bapa mangsa keluar ke kedai runcit manakala bapa saudaranya tiada di rumah.

Ujar Noozainy, ibu bayi itu terkejut mendengar bayinya menangis dengan kuat dan terus ke ruang tamu dan mendapati bayi berada di atas lantai simen, kira-kira satu meter dari tilam bayi dan berlumuran darah.

Manakala seekor kera jantan berada tidak jauh daripada mangsa sebelum terus keluar dari rumah.

Susulan itu, ibu mangsa terus menghubungi suaminya memaklumkan kejadian menimpa anak sulung mereka itu.

Noorzainy berkata pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan kecederaan gigitan, di kepala, perut dan pipi sebelum bayi tersebut dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan.

Bayi itu kemudiannya dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) pada hari yang sama bagi menjalani pembedahan kecil di bahagian perut mangsa serta jahitan di kawasan yang digigit kera.

Doktor memaklumkan tiada kecederaan pada usus bayi itu dan pembedahan tersebut hanya untuk mencantumkan bahagian kulit perut yang koyak akibat gigitan kera.

Setakat ini, bayi berkenaan masih menerima rawatan HPP dan memerlukan pemantauan doktor sekurang-kurangnya dua minggu.

Beliau berkata kejadian itu merupakan serangan pertama haiwan tersebut sehingga mendatangkan cedera parah kepada manusia.—AlHijrah Online

Leave a Reply