PICOMS PENERAJU KOLEJ UNIVERSITI DALAM TALIAN SEMASA COVID19

KUALA LUMPUR: Tiada istilah rehat bagi Kolej Universiti Antarabangsa (PICOMS) sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula 18 Mac lalu berikutan penularan wabak COVID-19.

Naib Canselor merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PICOMS, Profesor Dr Wan Mohd Azizi Wan Sulaiman berkata semua program Pengajaran dan Pembelajaran (PDP) yang sebelum ini diadakan secara bersemuka telah beralih ke platform dalam talian hampir sepenuhnya.

“Sebagai institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), inisiatif ini adalah selari dengan arahan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) waktu itu. Walaupun pelajar kami berada di rumah, program pembelajaran tetap diteruskan sehingga kini,” katanya.

Beliau menyifatkan PICOMS sebagai peneraju dan perintis dalam talian dalam memperkasakan pengajaran dan pembelajaran memandangkan pelajar-pelajar universiti awam (UA) sedang bercuti dalam tempoh PKP bermula 18 hingga 31 Mac.

Di saat negara dilanda krisis COVID-19, PICOMS meneruskan pengambilan pelajar bagi April hingga Mei 2020 dalam talian.

Semasa peringkat awal COVID-19, PICOMS telah merancang program hari terbuka, pengambilan pelajar dan orientasi secara maya.

Dari sejumlah 3,000 permohonan yang diterima bagi pengambilan April, 400 telah mendaftar dalam talian. Baki selebihnya yang masih berminat telah memohon bagi pengambilan pelajar bagi Julai dan September.

NORMAL BAHARU

Prof Wan Azizi berkata di bawah fasa normal baharu dalam PDP, pelajar PICOMS telah didedahkan kepada pelbagai sistem dan aplikasi dalam talian yang mudah diperolehi.

Menurut beliau, kebajikan pelajar dan kakitangan tidak diabaikan kerana PICOMS telah melaksanakan inisiatif Musaadah COVID-19 bagi membantu meringankan beban mereka yang mungkin terkesan dengan perlaksanaan PKP.

Di bawah program ini, pelajar menerima elaun sara diri bulanan, bantuan komputer riba, bantuan pengecualian bayaran asrama, perkhidmatan tele-kaunseling, makanan percuma (Foodbank) dan perkhidmatan bas.

Kakitangan PICOMS juga diberi pinjaman komputer, pinjaman peribadi dan elaun khas PKP.

Ketua Pegawai Eksekutif PICOMS, Profesor Dr Wan Mohd Azizi Wan Sulaiman

Sebagai persiapan PDP dalam talian, PICOMS kata Prof Wan Azizi telah menjalankan kajian lebih awal dari segi gadget yang digunakan, peranti digital dan capaian internet bagi pelajar di kawasan masing-masing.

“Majoriti pelajar PICOMS tidak menghadapi masalah dari segi capaian internet di kediaman masing-masing semasa PKP dan mereka menggunakan kaedah dalam talian yang ‘real time’ seperti Google Classroom dan Google Meet,” katanya.

Bagi pelajar baru, PICOMS menaja RM30 untuk pembelian data manakala 25 laptop disediakan sebagai bantuan.

LANDSKAP PENDIDIKAN BARU NEGARA

“Sepanjang tempoh PKP, tiada seorang pun pekerja PICOMS dibuang kerja. Semua dibayar gaji manakala tiada pelajar yang tercicir semasa tempoh tersebut,” tegas Prof Wan Azizi.

Di samping itu, PICOMS telah mewujudkan jawatankuasa bagi memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) keselamatan dan penjarakan sosial dipatuhi.

Ia juga menghasilkan hand sanitiser, cecair nyahkuman dan topeng muka berjenama sendiri.

Menurut beliau, sambutan orang ramai terhadap PICOMS sebagai IPT pilihan amat membanggakan, terutama golongan belia dan ibu bapa yang semakin yakin dengan kemampuan kolej universiti ini dari segi tenaga pengajar, pengiktirafan serta kecemerlangan akademik.

Prof Wan Azizi berkata pandemik COVID-19 telah mengubah landskap pendidikan di seluruh dunia, termasuk Malaysia.

Terdapat kira-kira sejuta pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di negara ini pada masa PKP.

Menurut beliau, kaedah pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian diperkasakan manakala pelajar yang mahir diberi latihan melalui aplikasi Mobile Journalism (MoJo) secara bersemuka di studio PICOMS.

Seramai 3,000 pelajar dan 200 pensyarah PICOMS telah menjalani program dalam talian sejak tercetusnya penularan pandemik COVID-19.

PASARAN ANTARABANGSA

“Hikmah dari pandemik COVID-19 ini telah mengetengahkan PICOMS secara tidak langsung kepada pasaran antarabangsa melalui maklumat yang dimuatnaik secara digital,” katanya.

Sehingga kini, PICOMS telah menjalin kerjasama dengan institusi-institusi luar negara seperti Osaka Rojin Home di Osaka, Jepun dan melalui program German Professional Employment PICOMS di Jerman.

PICOMS menempa sejarah dengan memperolehi pengiktirafan bagi program Diploma Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan pada 10 Jun dari Institut Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (IOSH) United Kingdom, yang diiktiraf lebih 135 negara dengan keahlian melebihi 48,000 orang.

Beliau berkata PICOMS juga akan memperkasakan program tanggungjawab sosial universiti (USR) yang berkonsepkan wakaf untuk golongan B40 bagi mencapai status universiti wakaf dalam tempoh lima tahun.

Sementara itu, Prof Wan Azizi telah melancarkan 30 siri video pendidikan mengenai ‘Science is Islam’ melalui saluran YouTube drwandrazizi yang mempunyai pautan dari laman web PICOMS.

PEMBELAJARAN DALAM TALIAN

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik) PICOMS, Profesor Dr Mohd Nazil Salleh berkata pengambilan pelajar UA biasanya dilakukan Unit Pengambilan Universiti (UPU) pada September manakala di IPTS dilaksanakan pada April, Jun dan Julai.

Katanya di PICOMS juga pengambilan pelajar baharu diadakan tiga kali setahun.

“Bila tercetusnya wabak COVID-19, PICOMS yang berada di pertengahan semester sedang menghadapi peperiksaan akhir. Setiap program diubah hampir 100 peratus dalam talian,” katanya.

Timbalan Naib Canselor (Akademik) PICOMS, Profesor Dr Mohd Nazil Salleh

Selain pemasaran dan panggilan melalui telefon, Prof Nazil berkata PICOMS menggunakan kekuatannya dalam media sosial dengan menyediakan maklumat program melalui semua platform yang digemari anak muda sekarang.

“Sebelum pandemik COVID-19, hanya 20 peratus pengajian dilaksanakan secara dalam talian. Disebabkan COVID 19, hampir 100 peratus program dijalankan secara dalam talian. Program yang memerlukan kemahiran jururawat menggunakan peralatan khas misalnya, kita tangguhkan dahulu,” katanya.

Setakat ini, pelajar sesi baru sedang mengikuti sesi pengajian secara dalam talian.

Kelas masih berjalan secara ‘face-to-face’ (bersemuka) walaupun ia dilaksanakan secara maya, tegas beliau.

PEPERIKSAAN

“Pada dasarnya, kumpulan senior yang mengambil peperiksaan dalam talian pada 27 Mac lalu, merupakan program pilot (perintis) PICOMS.

“Semasa PKP, kita teruskan peperiksaan. Jika kertas peperiksaan itu memerlukan tempoh satu jam setengah untuk disiapkan, kami akan lambatkan kepada 1 jam 50 minit bagi memudahkan semua pelajar menjawab soalan secara dalam talian,” kata Prof Nazil.

“Setiap pelajar tidak akan menerima soalan yang sama kerana soalan diberikan secara rambang. Bagi soalan esei, setiap pelajar perlu menyiapkan tugasan dalam masa 15 minit.

“Mereka perlu screenshot dan hantar tugasan masing-masing dalam masa yang ditetapkan dan ia berkonsepkan Open Book,” katanya.

Prof Nazil berkata setakat ini, sebahagian besar pelajar tahun dua dan tiga sudah pun menerima keputusan peperiksaan masing-masing dan telah memasuki semester baru.

Keputusan peperiksaan tersebut diperolehi dalam masa seminggu.

“Bagi pelajar yang akan menjalani praktikal, kami sediakan SOP dan penjadualan. Mereka perlu lapor mengikut jadual.

“Kita tak mahu semua pelajar berada pada satu masa menyebabkan kesesakan dan tidak mengamalkan penjarakan sosial. Yang akan berada di makmal, kita sediakan nama masing-masing di setiap tempat,” tegas beliau.

KEMBALI KE KAMPUS

Prof Nazil berkata PICOMS telah menyediakan garis panduan untuk kemasukan pelajar ke kampus tidak lama lagi.

Pelajar baru ambilan April akan kembali ke kampus pada 6 Julai dan akan meneruskan kuliah selama 7 minggu.

Menurut beliau, kumpulan pertama 9 pelajar akan menjalani program pengurusan di sektor swasta; kumpulan kedua dibenarkan kembali ke kampus dua hari sebelum memulakan praktikal di hospital pada 1 Julai manakala pelajar tahun akhir telah kembali ke kampus pada 15 Jun.

Bagi kursus fisioterapi misalnya, pelajar hanya menggunakan kaedah simulasi di rumah dengan menggunakan adik beradik masing-masing sebagai model untuk rawatan pemulihan pesakit semasa PKP.

Sesi praktikal hanya dilakukan apabila mereka kembali ke kampus. — AlHijrah Online

Leave a Reply