PILIHAN RAYA SUDAH BERLALU, HAYATI WASATIYYAH KUKUHKAN KEMBALI KEHARMONIAN DAN PERPADUAN

KUALA LUMPUR: Keghairahan kempen pilihan raya yang berlangsung baru-baru ini terutama bahan kempen yang menyentuh perkara sensitif seperti isu perkauman, raja dan agama (3R) dibimbangi telah mewujudkan suasana tidak harmoni dalam hubungan masyarakat di negara ini.

Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HGIM) dalam satu kenyataan hari ini melahirkan rasa kecewa terhadap perkara itu dan mahu rakyat Malaysia kembali mengukuhkan semula hubungan dengan berpegang kepada prinsip wasatiyyah.

“HGIM menyeru semua pihak terutama ahli politik agar berhenti memainkan sentimen 3R dan menggugat kestabilan kerajaan persekutuan, sebaliknya memberi fokus untuk memulihkan negeri dan negara dari pelbagai sudut.

“Pilihan Raya Umum dan Negeri telah berlalu, inilah masanya untuk semua pihak berganding bahu mempertaut dan mengukuhkan semula hubungan antara anggota masyarakat.

“Rakyat Malaysia terutama umat Islam diseru agar menghayati dan mengamalkan Islam wasatiyyah yang menekankan keseimbangan, keadilan dan kecemerlangan, serta menolak segala bentuk fitnah, mengkafirkan sesama orang Islam, menggunakan kata-kata kesat serta sebarang bentuk ekstremisme dan radikalisme yang merosakkan keharmonian dan mengeruhkan perpaduan rakyat Malaysia,” kata HGIM dalam kenyataan hari ini.

Jelas kenyataan tersebut, dengan mendukung nilai-nilai wasatiyyah, menolak ekstemisme dan berganding bahu memperjuangkan keharmonian serta kemajuan negara, HGIM yakin Malaysia akan menjadi negara cemerlang.

HGIM dalam pada itu menzahirkan kebimbangan jika isu 3R tidak dibanteras, ia boleh menggugat perpaduan dan keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia. – AlHijrah Online

Leave a Reply