PINDA UNDANG-UNDANG SYARIAH, TUBUH TASK FORCE LGBT USAHA DAKWAH YANG BESAR

KUALA LUMPUR: Usaha kerajaan untuk meminda undang-undang syariah dan menubuhkan pasukan khas bagi menangani isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT) dalam negara ini dilihat sebagai satu dakwah yang sangat wajar disokong oleh seluruh rakyat Malaysia.

Yang DiPertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nasrudin Hassan berkata, kedua-dua perkara tersebut juga satu usaha dakwah besar negara untuk mendidik dan membimbing masyarakat agar menjalani kehidupan patuh syariah.

“Dakwah ini adalah untuk membina sebuah masyarakat yang soleh dan bermoral sekaligus membentuk sebuah negara yang sejahtera dari keruntuhan akhlak dan peradaban.

“Kemudiannya, mengundang rahmat dan keampunan Allah SWT menepati piawaian Baldatun Tayyibah Wa Rabbun Ghafur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Image may contain: 1 person
Yang DiPertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nasrudin Hassan

Tambahnya, penularan budaya yang menyongsang fitrah dan normalisasi aktiviti LGBT di Malaysia mutaakhir ini kian membarah.

Oleh itu ia wajar ditangani dengan serius dan penuh hikmah.

“Fenomena ini turut mencemar budaya, meruntuh institusi kekeluargaan dan merosakkan nilai keperibadian individu, khasnya bagi mereka yang beragama Islam,” kata Nasrudin.

Ujarnya lagi, YADIM tidak sekadar menyokong hasrat murni kerajaan tersebut, tetapi bersedia untuk menjadi satu agensi yang berperanan bagi membantu usaha dakwah ke arah menyelamatkan golongan yang terjebak dalam kancah LGBT serta meluruskan pemikiran masyarakat agar tidak terpengaruh dengan agenda normalisasi aktiviti mungkar tersebut.

Minggu lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary memaklumkan kerajaan bercadang untuk melakukan pindaan terhadap Akta 355 bagi membolehkan hukuman lebih berat dikenakan kepada pengamal perlakuan songsang LGBT. – AlHijrah Online

Leave a Reply