PKP DILANJUTKAN SEHINGGA 12 MEI DENGAN SEDIKIT KELONGGARAN: PM

Last Updated on

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan dari 28 April ke 12 Mei depan, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, kerajaan memutuskan memberi sedikit kelonggaran kepada pelajar di kampus pulang ke kampung dan mereka terperangkap di kampung pulang ke rumah dengan syarat-syarat tertentu.

Perdana Menteri berkata keputusan itu susulan penurunan kes jangkitan COVID-19 dan langkah memastikan wabak itu ditangani sepenuhnya.

“Berdasarkan data-data yang dibentangkan kepada saya oleh Kementerian Kesihatan, saya dapati bahawa usaha-usaha untuk membendung wabak COVID 19 masih perlu diteruskan.

“Walaupun angka-angka menunjukkan perkembangan yang positif, langkah-langkah yang kita ambil hendaklah diteruskan sampai ke satu masa di mana kita yakin wabak COVID 19 dapat dibendung sepenuhnya.

“Sehubungan itu, saya ingin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan yang dijangka berakhir pada 28 April 2020 akan dilanjutkan
untuk tempoh dua minggu lagi, iaitu sehingga 12 Mei 2020,” kata Muhyiddin dalam perutusan khas disiarkan stesen televisyen tempatan di sini malam ini.

Statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan penurunan signifikan jangkitan COVID-19 dengan purata bawah 100 kes harian sejak PKP dikuatkuasakan 18 Mac lalu.

Terkini, Malaysia merekodkan 71 kes baharu hari ini menjadikan jumlah kumulatif 5,603 kes COVID-19 dan 95 kematian.

Daripada jumlah itu, seramai 3,542 kes atau 63.2 peratus kes telah sembuh dan didiscaj daripada hospital, iaitu angka kesembuhan tertinggi di dunia.

Muhyiddin berkata, kerajaan akan menilai data terkini disediakan KKM dalam tempoh fasa lanjutan PKP itu untuk menentukan langkah seterusnya.

“Saya tidak menolak kemungkinan bahawa PKP akan dilanjutkan lagi selepas ini. Ini bermakna, saudara-saudari mungkin tidak boleh menyambut hari raya di kampung.

“Saudara-saudari masih tidak boleh bekerja, kecuali bagi mereka yang bekerja dalam sektor yang dibenarkan. Perniagaan juga masih belum boleh dibuka sepenuhnya,” kata Perdana Menteri.

Mengulas mengenai kelonggaran diberikan, Perdana Menteri berkata proses membawa pulang pelajar itu sedang dirancang kerajaan dengan nasihat KKM.

“Jumlah pelajar yang terlibat adalah besar, iaitu hampir 100,000 orang. Jadi kita mesti rancang pergerakan mereka dengan teliti untuk pastikan ianya teratur dan tidak menyebabkan risiko jangkitan.

“Sebelum dibenarkan pulang, semua pelajar ini akan dipastikan benar-benar sihat dan tidak mempunyai gejala COVID 19,” kata Muhyiddin meminta ibu bapa bersabar.

“Kepada anak-anak kita yang berada di kampus, insyaAllah dalam tempoh yang tak berapa lama lagi, anda semua boleh pulang ke pangkuan keluarga,” katanya.

Perdana Menteri berkata, butiran terperinci mengenai pergerakan pulang ini akan diumum kerajaan dalam masa terdekat.

“Keduanya, bagi anda yang berada di kampung atau di tempat lain dan hendak balik semula ke rumah masing-masing, kerajaan sedang menimbang untuk memberikan kebenaran satu kali perjalanan bagi tujuan ini.

“Kebenaran ini hanya diberikan kepada mereka yang terperangkap di kampung atau di tempat lain sebelum kerajaan melaksanakan PKP yang pertama,” kata Muhyiddin.

Perdana Menteri berkata kerajaan sedang mengumpul data dan mengkaji kaedah terbaik untuk mengatur pergerakan membabitkan kelompok kedua ini.

“Seperti yang telah diumumkan Menteri Kanan Pertahanan, mereka yang terlibat boleh mendaftar secara online di aplikasi yang disediakan PDRM atau membuat temujanji untuk hadir ke balai polis bagi tujuan pendaftaran.

“Adalah penting untuk pihak polis mengatur perjalanan saudara-saudari supaya tidak berlaku kesesakan di jalan raya atau di hentian-hentian di lebuh raya.

“Anda juga perlu pastikan anda sihat dan tidak mempunyai apa-apa gejala sebelum memulakan perjalanan,” kata Muhyiddin.

Perdana Menteri berkata butiran terperinci mengenai perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Ini adalah sedikit kelonggaran yang diberikan setakat ini. Saya ulang sekali lagi, sedikit kelonggaran. Bukan terlalu longgar.

“Pelaksanaan kedua-dua langkah ini juga akan dipastikan teratur dan tidak menjejaskan usaha kita memerangi COVID-19,” kata Perdana Menteri.

Perdana Menteri berkata, jika kes COVID-19 terus mencatatkan penurunan ketara, kerajaan akan melonggarkan kawalan pergerakan secara bertahap dalam beberapa sektor termasuk sektor sosial bagi membolehkan rakyat lebih selesa.

“Majlis Keselamatan Negara sedang merangka satu pelan yang menyeluruh mengenai perkara ini,” kata Muhyiddin.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga sedang mengkaji kaedah untuk memulihkan ekonomi, atau revive the economy secara bertahap ekoran kemungkinan PKP dilanjutkan lagi.

“Ini termasuk merangka Pelan Pemulihan Ekonomi jangka pendek dan sederhana bagi memastikan aktiviti ekonomi dapat dibangkitkan semula dengan pantas selepas tempoh PKP berakhir.

“Sehubungan itu, saya telah mengarahkan Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri untuk merangka Pelan Pemulihan Ekonomi jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang yang menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata tumpuan kerajaan pada masa ini adalah untuk mengenalpasti langkah dan inisiatif yang akan merancakkan pertumbuhan ekonomi jangka pendek dan sederhana, serta mendorong keyakinan rakyat dan pelabur menjana semula ekonomi negara.

Katanya, antara inisiatif yang sedang dirangka ialah membina keupayaan dan kemahiran rakyat, menggalak perbelanjaan domestik, meningkatkan daya tahan industri termasuk PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) dan memupuk persekitaran pelaburan lebih positif untuk masa hadapan.

Perdana Menteri berkata Malaysia masih belum menang dalam perang menentang COVID-19 tapi beliau yakin wabak itu dapat ditangani dengan izin Allah swt.

“Yang penting ialah jihad dan istiqamah. Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, tingkatkan jihad kita memerangi COVID-19. Teruslah istiqamah dengan usaha kita.

“Tak mengapa Ramadan kali ini kita tak pergi ke bazar Ramadan. Tak makan nasi beriyani, murtabak atau juadah kuih-muih yang kita suka. Yang penting kita selamat daripada wabak COVID-19,” kata Muhyiddin.

Perdana Menteri berkata, dilihat secara positif, mungkin ujian COVID-19 ini adalah peluang yang Allah berikan untuk mengamalkan sebenar-benar ibadah puasa.

“Kita berbuka puasa dan bersahur sekadarnya. Makan masakan isteri kita dan tidak membazir. Kalau masakan tak jadi pun tak apa. Boleh post dalam grup Facebook ‘Masak Apa Tak Jadi Hari Ni’.

“Tak mengapalah kita tak dapat mendirikan solat terawih secara berjemaah di masjid. Mungkin ini peluang yang Allah swt berikan kepada kita untuk berjemaah bersama keluarga di rumah.

Jika tidak sekarang, bila lagi. Kita jadi imam, anak dan isteri jadi makmum. InsyaAllah, ganjaran pahala dan barakah yang kita terima tak kurang besarnya.

“Apa yang penting, kita lalui jihad ini bersama-sama. Seperti bulan Ramadan, di akhirnya adalah kemenangan buat kita semua dalam melawan hawa nafsu,” kata Perdana Menteri.

Muhyiddin menggesa semua pihak berdoa kepada Allah agar rakyat Malaysia diberi kemenangan, kesihatan dan keselamatan dari wabak penyakit ini.

“Mudah-mudahan bulan Ramadan yang mulia ini membawa rahmat kepada kita semua. Banyakkan berdoa kepada Allah swt dan mohon pertolongan daripada-Nya, insyaAllah kita semua dilindungi daripada sebarang musibah,” kata Muhyiddin. — AlHijrah Online/ Syed Azwan Syed Ali

Leave a Reply