PELAJAR IPT DIBENARKAN PULANG BERMULA 27 APRIL

PUTRAJAYA: Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang terperangkap di kampus atau di luar kampus susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bermula 27 April depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, waktu perjalanan pulang pelajar itu akan dihadkan dari jam 9 malam hingga 9 pagi dan dibuat secara berperingkat.

Beliau berkata peringkat awal pergerakan hanya melibatkan perjalanan ke zon hijau sahaja selain saringan gejala COVID-19 akan dibuat ke atas pelajar yang ingin pulang.

“Pelajar yang terlibat seperti yang saya maklumkan, mereka ada di dalam kampus selama lebih sebulan dan tidak ada gejala mereka dianggap bersih dan selamat dari gejala Covid-19.

“Walaubagaimanapun setiap pelajar yang ingin pulang perlu menjalani saringan gejala sebelum perjalanan dan mereka akan turut dibekalkan dengan topeng muka,” kata Ismail Sabri pada sidang media harian PKP di Putrajaya yang disiarkan stesen TV tempatan.

Menteri kanan itu berkata, selain saringan kesihatan, kedudukan pelajar di dalam bas akan mengikut kaedah penjarakan sosial.

“Kalau tempat duduk dua orang, hanya satu orang sahaja boleh duduk. Kalau bas untuk 40 orang penumpang hanya 20 dibenarkan,” katanya.

Ismail Sabri berkata pelajar yang ingin pulang akan diambil dari kampus menggunakan bas kemudian dihantar ke balai polis atau pejabat daerah berdekatan dengan rumah mereka.

“Dari balai polis atau pejabat daerah pelajar akan dihantar ke rumah masing-masing oleh agensi kerajaan,” tambahnya.

Ismail Sabri berkata pelajar mempunyai kenderaan sendiri turut dibenarkan pulang dengan syarat perjalanannya tidak merentasi negeri dan melibatkan perjalanan seorang individu sahaja.

Katanya, penerbangan akan turut disediakan kerajaan bagi pelajar Sabah dan Sarawak yang wajib menjalani kuarantin selama 14 hari seperti syarat ditetapkan kerajaan negeri untuk perjalanan masuk.

Secara keseluruhan, proses penghantaran pulang itu akan melibatkan kira-kira 53,000 pelajar atau 85 peratus daripada jumlah pelajar yang terkesan.

Sementara itu baki 15 peratus pelajar mengambil keputusan tidak pulang ekoran beberapa faktor seperti kemudahan pembelajaran dan persediaan peperiksaan. — AlHijrah Online/ Zaim Zamani

Leave a Reply