PKP: KEBENARAN SOLAT JUMAAT SEHINGGA 30 JEMAAH – JAWI

GAMBAR ARKIB

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengumumkan kebenaran solat Jumaat dengan bilangan maksimum 30 jemaah di semua masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail berkata kebenaran itu menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah melalui warkah Istana Negara hari ini, agar solat Jumaat diadakan dengan bilangan maksium 30 jemaah dengan penjarakan satu meter.

“Semua masjid dan surau Jumaat di Wilayah-Wilayah Persekutuan termasuk surau yang diberikan kebenaran khas bagi solat Jumaat dibenarkan melaksanakan solat Jumaat dengan bilangan maksimum 30 orang jemaah,” katanya dalam perkeliling kepada pengurusan masjid dan surau di Wilayah Persekutuan hari ini.

Bagi solat fardu lima waktu secara berjemaah, Mohd Ajib berkata, ibadah itu ditangguhkan untuk jemaah umum di semua masjid, surau dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan.

“Walaubagaimanapun, solat berjemaah bagi setiap solat fardu lima waktu hendaklah didirikan oleh bilangan maksimum lima orang yang terdiri daripada anggota jawatankuasa dan pegawai-pegawai masjid,” katanya.

Sementara itu aktiviti pengimarahan masjid juga ditangguhkan sepanjang tempoh PKP, namun aktiviti seperti kuliah, ceramah, dan seumpamanya boleh dilaksanakan secara dalam talian atau Facebook live yang dibuat di kediaman penceramah dan dikongsikan kepada ahli kariah.

“Laungan azan solat fardu lima waktu hendaklah diteruskan seperti biasa. Hebahan selepas azan menggunakan pembesar suara memaklumkan jemaah supaya mendirikan solat fardu di rumah masing-masing hendaklah dibuat oleh bilal yang melaungkan azan,” kata Mohd Ajib. – AlHijrah Online

Leave a Reply