PKPP: RIADAH KOLAM RENANG DIBENARKAN

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini mengumumkan kebenaran aktiviti riadah di kolam renang awam, hotel, kondominium, komuniti berpagar, serta persendirian.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran itu bermula pada 1 Julai 2020.

“Pra syarat untuk setiap lokasi kolam renang mestilah menyediakan Life Guard dan pemantau ataupun penyelia bagi memastikan keselamatan pengguna serta jumlah dan masa penggunaan terkawal.

“Jumlah pengguna dalam kolam renang perlu berdasarkan kapasiti dan keluasan kolam renang,” katanya dalam sidang media Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ismail Sabri berkata kolam renang ini juga perlu membuat pendaftaran notifikasi pembukaan kolam renang dengan Kementerian Perdangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di laman web notification.miti.gov.my dan pihak berkuasa tempatan bagi tujuan pematuhan dan pemantauan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Selain dari kolam renang, aktiviti pelancongan air (sungai, laut dan tasik) adalah dibenarkan dengan syarat mestilah mematuhi SOP.

“Bagaimanapun, taman tema air masih tidak dibenarkan untuk beroperasi lagi,” kata Ismail Sabri.

Selain kolam renang, kerajaan hari ini turut mengumumkan pembukaaan pawagam dan teater bermula 1 Julai 2020. — AlHijrah Online / Zaim Zamani

Leave a Reply