PKRC MAEPS KECOH SELEPAS PESAKIT COVID-19 KANTOI CURI TELEFON

KUALA LUMPUR: Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang kecoh selepas dua individu yang merupakan pesakit ditangkap pesakit lain selepas disyaki terlibat kes kecurian telefon bimbit.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, ketika kekecohan yang berlaku pada jam 10.30 malam itu, pegawai perubatan wanita berusia 34 tahun yang bertugas ketika ini mengaktifkan kod jingga dan meminta bantuan daripada polis bertugas bagi meredakan keadaan.

“Pengadu telah menjalankan temu bual dalam kalangan pesakit dan mendapati berlaku kecurian beberapa buah telefon bimbit dalam kalangan pesakit.

“Pesakit berkenaan kemudiannya telah menahan dua lelaki yang juga merupakan pesakit di dewan berkenaan kerana disyaki telah mencuri telefon bimbit pesakit yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya suspek dipindahkan ke Dewan DG bagi tujuan keselamatan dan empat telefon bimbit yang dicuri itu turut dirampas.

Ujarnya lagi dua suspek itu akan menghabiskan tempoh kuarantin sebelum dipindahkan ke lokap polis.

Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Dalam video dan gambar yang tular sejak semalam, sepasukan anggota polis dengan kelengkapan anti rusuhan telah dikerahkan ke PKRC MAEPS susulan kekecohan tersebut. — AlHijrah Online

Leave a Reply