TAKTIK EDAR DADAH BERALIH KEPADA KENDERAAN BESAR

Tanjung Malim: Sindiket pengedaran dadah dikesan mengubah taktik untuk menyeludup bahan terlarang itu ke negeri lain dengan menggunakan kenderaan lebih besar sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua (2.0).

Timbalan Pengarah 1, Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, DCP Zainuddin Ahmad berkata, tokan-tokan dadah dikesan masih aktif namun tidak lagi menggunakan khidmat penghantar makanan bermotosikal untuk menghantar bekalan kepada pembeli.

“Semasa PKP fasa pertama kita kesan tokan-tokan dadah ni banyak menggunakan motosikal, tetapi dalam fasa kedua mereka ubah taktik menggunakan kenderaan yang besar pula.

“Kenderaan besar seperti lori dan kereta diubahsuai dengan ada ruang khas untuk menyembunyikan dadah. Tujuan dia untuk mengelakkan daripada pemeriksaan sekatan jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat dan memantau sekatan jalan raya (SJR) pada program Jeneral Turun Padang di SJR Stesen Bas Tanjung Malim hari ini.

Ujar DCP Zainuddin, khidmat penghantar makanan bermotosikal dikesan hanya digunakan untuk menghantar bekalan dadah dalam kuantiti yang kecil ke daerah-daerah dan kebanyakan aktif di sekitar Lembah Klang.

Tegas beliau, polis memandang serius isu tersebut dengan meletakkan Unit Anjing Pengesan (K9) di SJR di negeri-negeri dengan bilangan kenderaan tinggi seperti Perak, Pulau Pinang, Johor dan Selangor untuk mengesan dadah.

Selain itu ujar DCP Zainuddin, tangkapan serta rampasan juga sentiasa dilakukan di parti-parti persendirian yang didapati terdapat penyalahgunaan dadah.

Katanya, polis akan sentiasa memantau dan masyarakat yang mempunyai maklumat melalui penyeludupan dadah diseru memaklumkan kepada balai-balai polis berhampiran supaya tindakan boleh diambil ketika SJR. – AlHijrah Online / Hamimah Hamid

Leave a Reply