PM PENGERUSIKAN MESYUARAT KHAS COVID-19

Last Updated on

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mempengerusikan Mesyuarat Khas mengenai COVID-19 di pejabat Perdana Menteri di sini.

Mesyuarat yang bermula pada 3 petang itu dihadiri antaranya Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kanan Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Turut hadir Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Menteri Alam Sekitar Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Menteri Wanita dan Keluarga Datuk Seri Rina Mohd Harun; Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan serta Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Selain itu, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; Menteri Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri; Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Nancy Shukri serta Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Perdana Menteri pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinetnya yang pertama pada Rabu meluahkan kekhuatiran berikutan wabak COVID-19 yang telah berlarutan selama beberapa minggu dan memberi impak amat besar kepada negara terutamanya dalam soal ekonomi.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu telah mengisytiharkan penularan COVID-19 sebagai pandemik.

Sehingga semalam, Malaysia mencatatkan 158 kes, dengan 32 pesakit telah didiscaj. — BERNAMA

Leave a Reply