PMYT: INDIVIDU BAWA AJARAN SESAT BOLEH DIKENAKAN SOSMA

PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan jika wujud unsur-unsur hasutan yang dibawa oleh ajaran sesat Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT).

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, tindakan yang boleh dikenakan termasuk meletakkan individu berkenaan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Kalau dia dikesan melanggar undang-undang percetakan, kita juga boleh ambil tindakan dari sudut itu.

“Sekiranya, dia cuba menghasut sehingga orang tidak selesa dan cuba lari dari negara kita, itu juga boleh diambil tindakan dan mungkin diletakkan di bawah SOSMA,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Dalam masa yang sama, pengikut ajaran itu juga tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang yang boleh dikenakan.

“Pihak kementerian akan melihat tindakan mana yang sewajarnya boleh dikenakan terhadap penghasut dan pengikut ajaran itu,” katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad berkata semua pihak berkuasa agama tidak akan berkompromi dalam menangani sebarang ajaran sesat yang berisiko mengancam keselamatan negara.

Sebelum ini, tular sebuah video yang menunjukkan seorang wanita yang dinamakan Sittah Annur berusia 39 tahun membawa ajaran sesat PMYT yang mempunyai ribuan pengikut termasuk pegawai kerajaan.

Wanita tersebut mendakwa akan berlaku Perang Dunia Ketiga yang bermula di Sabah, dan memimpin pasukannya bagi mencari Imam Mahdi bagi melawan musuh.—AlHijrah Online

Leave a Reply