POKOK IKONIK DI BANDAR HILIR TUMBANG

MELAKA: Pokok ikonik berusia 127 tahun di kawasan Bangunan Stadthuys atau ‘bangunan merah’ di Bandar Hilir, Melaka tumbang hari ini.

Pokok jenis Batai Laut berusia 127 tahun yang ditanam pada 1894 itu tumbang kira-kira pukul 6.30 pagi tadi.

Akarnya yang reput dipercayai punca pokok yang ditanam sejak zaman penjajahan British itu tumbang.

Menurut laporan media, Pengarah Jabatan Landskap Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Moahzam Shaari berkata pihaknya akan melakukan penanaman semula pokok baharu di kawasan itu untuk menjaga imej lokasi Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Kita akan menanam semula pokok baharu dalam masa terdekat, namun untuk mendapatkan pokok yang mampu bertahan lama seperti ini memang sangat susah.

“Apapun, kita akan cuba memikirkan spesies pokok lain yang sesuai ditanam di kawasan ini bagi menggantikan pokok yang sudah berusia lebih 120 tahun ini,” katanya memetik laporan Kosmo. — AlHijrah Online

Leave a Reply