POLIS KESAN DUA LELAKI SERANG, PUKUL ANJING HINGGA MATI

BAYAN LEPAS: Polis sedang giat mengesan dua lelaki disyaki menyerang anjing yang terjatuh di dalam longkang hingga mati di Kampung Teluk Tempoyak, Batu Maung di sini, semalam.
ARTIKEL BERKAITAN – PUKUL ANJING HINGGA MATI, TIGA LELAKI DITAHAN POLIS
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Kamarul Rizal Jenal berkata, pihaknya telah mengesan satu video beserta artikel bertajuk ‘Tidak cukup dilanggar motosikal, anjing tidak berdosa diseksa dua lelaki durjana sampai mati’ yang tular di media sosial pada jam 6 petang semalam.
Katanya, video tular itu memaparkan terdapat dua lelaki sedang menyerang sesuatu menggunakan kayu di kawasan semak.
“Kejadian itu disaksikan seorang saksi dan dia sempat merakam perbuatan kedua-dua suspek menggunakan telefon bimbit.
“Menurut saksi, dia melihat dua lelaki tempatan yang tidak dikenali disyaki tinggal berdekatan tempat kejadian sedang menyerang seekor anjing yang terjatuh dalam longkang di tepi jalan.
“Selepas merakam, dia terus menghantar rakaman kejadian itu kepada rakannya yang tinggal di Petaling Jaya, Selangor sebelum ia dimuat naik dan ditularkan melalui akaun Twitter bernama ‘Syhmiee’,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Kamarul Rizal mengulas, susulan daripada itu satu laporan dibuat seorang anggota polis untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 8.38 malam Sabtu lalu, katanya.
“Polis kini dalam usaha mengesan suspek terlibat untuk siasatan lanjut.
“Pihak polis telah membuka satu kertas siasatan berhubung kejadian tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.
Kes itu turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang memperuntukkan denda RM50,000 didenda atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.—AlHijrah Online
Pingback: PUKUL ANJING HINGGA MATI, TIGA LELAKI DITAHAN POLIS – ALHIJRAH ONLINE