POLIS SIASAT DAKWAAN GURU DORONG PELAJAR PELUK AGAMA ISLAM

KUALA LUMPUR: Polis membuka kertas siasatan berhubung kes wanita tidak berpuas hati terhadap guru di sebuah sekolah menengah yang dikatakan mendorong seorang pelajar lelaki untuk memeluk agama Islam.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Zam Halim Jamaluddin berkata wanita yang juga ibu kepada pelajar lelaki berusia 15 tahun itu telah membuat laporan polis semalam.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan suasana tidak harmoni atas alasan-alasan agama dan awam serta Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada awam.

“Sehingga kini, beberapa orang saksi telah dirakam percakapan dan siasatan terperinci sedang dilakukan berhubung kejadian ini. Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zam Halim berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-92845050/5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berdekatan.–AlHijrah Online

Leave a Reply