POLIS SIASAT DAKWAAN PENGHUNI MADRASAH DIDERA ALA MILITAN

Ibu mangsa Zuraina Zamri, 45, menunjukkan gambar kecederaan pada mata anaknya semasa menjalani sebuah program yang dipercayai penderaan ala militan oleh sebuah madrasah di Jalan Kebun Shah Alam, ketika ditemui pemberita pada sidang media hari ini. –fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat dakwaan seorang bekas penghuni sebuah madrasah di Jalan Kebun, Shah Alam yang didera sepanjang empat bulan berada di pusat itu.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata pihaknya menerima laporan berhubung dakwaan itu daripada lelaki terbabit pada bulan lepas.

“Saya mengesahkan polis menerima satu laporan berhubung perkara ini, siasatan masih dijalankan,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Tenaga pengajar madrasah Mohd Rizuan Samsudin (tengah) menunjukkan laporan Polis yang telah dibuat ketika ditemui pemberita pada sidang media berkaitan penafian sebuah madrasah di sini menyokong aktiviti militan oleh sebuah portal dalam talian tempatan di Kampung Jalan Kebun Shah Alam hari ini. –fotoBERNAMA

Pertubuhan Kebajikan Darussolihin dalam kenyataan hari ini menafikan dakwaan madrasah Darussolihin yang ditubuhkan sebagai badan bukan kerajaan (NGO) melaksanakan penderaan ala militan kepada penghuninya.

Menurut kenyataan itu, selain menekankan ilmu agama, madrasah ditubuhkan sejak 2007 melaksanakan program pemulihan dan perlindungan terhadap individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah serta masalah sosial.

Terdahulu, bekas penghuni madrasah tersebut yang ingin dikenali sebagai Haris, 20, ketika ditemui pemberita hari ini mendakwa dia dan beberapa penghuni lain berusia lingkungan 19 hingga 30-an dikurung di dalam bilik gelap, didera secara fizikal dan mental serta mengalami gangguan seksual sepanjang menerima rawatan  di madrasah itu. –AlHijrah Online

Leave a Reply