PRN: SELANGOR PALING RAMAI PENGUNDI MUDA, TERTUA

Gambar ARKIB. Sumber: BERNAMA

PUTRAJAYA: Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini menyaksikan Selangor menjadi negeri yang mempunyai pengundi muda berumur 18 hingga 20 tahun paling ramai iaitu 274,194 orang.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata ini disusuli Kedah dengan 104,284 pengundi, Kelantan (96,513), Pulau Pinang (67,633), Terengganu (64,264) dan Negeri Sembilan (55,017). 

Ini menjadikan jumlah keseluruhan pengundi bagi kumpulan itu seramai 661,905 orang, kata beliau dalam sidang media bagi mengumumkan tarikh-tarikh urusan PRN di sini hari ini. 

Enam negeri yang terlibat dalam PRN tersebut adalah Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.  PRN di enam negeri ini diadakan serentak dengan pengundian pada 12 Ogos manakala penamaan calon 29 Julai.

Abdul Ghani berkata kumpulan pengundi teramai dalam PRN berkenaan adalan kumpulan berumur 21 hingga 29 tahun melibatkan 2,169,120 orang dengan Selangor menjadi negeri tertinggi iaitu 851,180 pengundi. 

Bagi kumpulan pengundi berumur 90 tahun dan ke atas pula, beliau berkata seramai 28,991 layak mengundi dengan Selangor mempunyai 8,638 orang, diikuti Pulau Pinang (6,152), Kedah (4,799) dan Kelantan (4,367).

Secara keseluruhan, PRN itu melibatkan seramai 9,773,571 pengundi dengan Selangor seramai 3,747,057 orang, Kedah (1,585,085), Kelantan (1,411,912), Pulau Pinang (1,234,198), Terengganu (930,894) dan Negeri Sembilan (864,425), katanya.

Daripada jumlah keseluruhan pengundi, golongan wanita meliputi 50.17 peratus atau 4,935,937 orang manakala lelaki 49.83 peratus atau 4,837,634 juta orang, katanya.–AlHijrah Online

Leave a Reply