MAYAT LELAKI DIBUNGKUS, DISOROK DALAM BUT KERETA

SHAH ALAM: Mayat seorang lelaki ditemukan dengan keadaan terikat dan berbungkus plastik dalam but sebuah kereta di Taman Sri Orkid, Seksyen 30, di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam Supt Ramsay Anak Embol berkata, kejadian tersebut disedari orang awam kira-kira jam 3.25 petang selepas terhidu bau busuk dari kereta jenis Honda City yang ditinggalkan sejak dua hingga tiga hari lalu.

“Siasatan awal polis mendapati mangsa merupakan seorang lelaki warga Indonesia berusia 47 tahun.

“Semakan juga mendapati kereta itu didaftarkan atas nama mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat.

Dalam pada itu, Ramsay memaklumkan pihaknya menahan empat suspek termasuk seorang wanita warganegara Indonesia berusia 40-an pada hari sama berhampiran lokasi kejadian kira-kira jam 7 petang.

“Punca pembunuhan ada kemungkinan bermotifkan cemburu, bagaimanapun siasatan masih dijalankan.

“Suspek direman enam hari bermula Rabu untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan Mohammad Khairi di talian 012-2666025.—AlHijrah Online

Leave a Reply