PELATIH KURSUS ASAS PGA MENINGGAL DUNIA AKIBAT STROK HABA

IPOH: Seorang anggota Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PLPGA) Ulu Kinta, Konstabel Muhamad Irfan Irham Badrul Hisam, 21, yang menyertai kursus asas Pasukan PGA Siri 1/2023 meninggal dunia akibat strok haba.

Komandan PLPGA Ulu Kinta Supt Mohammad Hafiz Kadir berkata punca kematian itu disahkan menerusi hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) hari ini.

“Ya, post-mortem hospital begitulah (strok haba). Post-mortem bermula pagi tadi, 11.30 pagi itu dah selesai, maknanya dia dah serahkan (jenazah) kepada kita, keluarga dia suruh kita uruskan untuk pengebumian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya jenazah telah dibawa ke Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq di Kem PGA Briged Utara untuk dimandi dan dikafankan, sebelum dibawa pulang ke kampung halaman di Felda Keratong Satu, Bandar Tun Abdul Razak, Pahang untuk pengebumian.

Malam tadi, media melaporkan Muhamad Irfan Irham meninggal dunia dipercayai akibat strok haba dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang, membabitkan mangsa rebah dan mengalami kekejangan secara tiba-tiba.

Sementara itu, Mohammad Hafiz berkata Muhamad Irfan Irham merupakan seorang daripada 168 pelatih yang terlibat dalam kursus berkenaan dengan baru sahaja tiga hari melapor diri sebagai peserta kursus pada Ahad lepas.

Beliau berkata kursus itu setakat ini dalam proses pengenalan dan taklimat serta aktiviti dalam kelas sahaja, selain pelatih tidak terdedah seperti berada di atas padang kawad serta ia tidak membabitkan sebarang acara lasak.

Menurutnya ia merupakan kursus wajib yang perlu dilalui apabila seseorang itu berkhidmat dalam PGA, iaitu proses peringkat awal membentuk seorang infantri dalam PGA sebelum menghadiri kursus lanjutan.

Mohammad Hafiz berkata lanjutan daripada insiden tersebut, beliau telah mengambil tindakan sewajarnya antaranya mengadakan kelas dalam keadaan yang berbumbung dan di kawasan redup.

“Satu lagi langkah, saya telah mengarahkan juga supaya pelatih untuk minum air secukupnya,” katanya.

Beliau berkata kursus berkenaan tetap diteruskan kerana bajet telah diluluskan dan kursus itu melibatkan kompetensi seorang anggota PGA itu sendiri.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Perak A. Sivanesan ketika dihubungi berkata beliau telah menghubungi pihak Kementerian Kesihatan untuk mendapatkan maklum balas. — AlHijrah Online

Leave a Reply