PROGRAM DAKWAH, ALHIJRAH APPS, DAN CSR FOKUS UTAMA KEMPEN RAMADAN, SYAWAL TV ALHIJRAH

KUALA LUMPUR: “Ramadan Diberkati, Syawal Dirai” merupakan tema yang diangkat stesen televisyen Islam utama negara, TV AlHijrah dalam menyambut Ramadan dan Syawal 1443H.

Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah Namanzee Hariss berkata, TV AlHijrah memilih tiga komponen utama sebagai fokus stesen itu sepanjang menyambut Ramadan dan Syawal 1443H akan datang.

Katanya konsep #KongsiRezeki diterapkan dalam semua fokus utama tersebut.

“Inisiatif pertama adalah inisiatif teras yang menjadi denyut nadi stesen TV ini iaitu dua puluh rancangan istimewa pelbagai genre yang bakal disiarkan sepanjang Ramadan dan berbaki sembilan rancangan untuk Syawal.

“Rancangan-rancangan tersebut adalah Khatam Al- Quran Perdana, Solat Tarawih Dari Mekah, My #QuranHour Assalamualaikum Sahur, Camca, Saranghae, Khilaf, Ngaji On The Go Kids, Moreh, Cinta Ilmu Ramadan, Ittabiouni, Kaunter Netizen, Majlis Ayah, Senangnya Masak Bersama Ayam Perap Makmur Gold dan banyak lagi.

“Mood Syawal pula boleh diceriakan dengan sajian rancangan seperti Hijrah Berselawat Syawal, Haflah Syawal, Hijrahkan Laguku Reunion Raya, Sitkom Tau Tau Dah Raya, Wanita Syurga Raya, Telefilem Syawal Yang Hilang serta Filem Indonesia berjudul Mars,” katanya.

Namanzee berkata disamping program-program yang disiarkan di televisyen, TV AlHijrah turut melancarkan dua inisiatif lain untuk kempen berkenaan iaitu inisiatif platform media digital dan Inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

“Sebagai galakan kepada penonton setia stesen ini, TV AlHijrah memilih untuk membangunkan aplikasi telefon yang dikenali sebagai AlHijrah Apps (AH). Lebih 5,000 rancangan keagamaan pelbagai genre boleh diakses pada bila-bila masa. Seluruh masyarakat boleh menuntut ilmu tanpa memikirkan batasan masa dan tempat,” katanya.

Menurut beliau pengguna Android boleh ke Google Playstore manakala pengguna Apple boleh ke Apple Apps Store dan membuat carian AlHijrah Media untuk memuat turun aplikasi AlHijrah Apps (AH).

Selain itu, fokus ketiga yang menjadi komponen kepada Kempen Ramadan dan Syawal TV AlHijrah adalah Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) iaitu Hijrah Prihatin Skuad Bubur Lambuk 2022.

Bertemakan Dakwah Melalui Frontliner, penambahbaikan dilaksanakan pada tahun ini apabila 20 buah motosikal kuasa besar Harley Davidson akan turun padang ke Pahang dan Johor untuk menyantuni masyarakat setempat.

Aktiviti skuad tersebut tidak terhad kepada edaran bubur lambuk sahaja tetapi akan mengimarahkan masjid dengan mengadakan aktiviti-aktiviti bersama qariah setempat seperti seperti gotong-royong membersihkan masjid, infaq rezeki Hijrah Prihatin, Solat Tarawih berjemaah dan banyak lagi aktiviti lain.

Namanzee menyeru masyarakat Malaysia untuk terus menonton TV AlHijrah sepanjang Ramadan dan Syawal akan datang. – AlHijrah Online

Leave a Reply