PROGRAM YADIM BUKAN DAKWAH SEMPIT DIGAMBARKAN PIHAK RASIS, ISLAMOPHOBIK

Last Updated on

8

KUALA LUMPUR: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menegaskan Rakan Siswa YADIM (RSY) dan Rakan Remaja YADIM (RRY) adalah penjenamaan semula inisiatif Sahabat YADIM yang diwujudkan sejak 2013 dengan jumlah keanggotaan 18,146 ahli di 69 sekolah menengah dan 76 institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh berkata, sepertimana penubuhan persatuan pelajar ain, RSY dan RRY bertujuan menggalakkan budaya aktivisme dalam kalangan mahasiswa dan pelajar menggunakan landasan dakwah yang menjadi teras penubuhan YADIM.

Beliau menegaskan dakwah yang difahami YADIM bukan terbatas dalam definisi sempit “missionary” yang cuba dipaksakan kumpulan dan individu rasis, termasuk kelompok Islamophobik.

“Sebaliknya, dakwah yang dibawa YADIM melalui setiap gerak kerjanya, termasuk melalui inisiatif RSY dan RRY merangkumi makna lebih luas yang menyeru ke arah kebaikan (Al-Ma’ruf) dan mencegah kemungkaran (Al-Munkar).

“Jiwa pendakwah yang ingin dilahirkan melalui inisiatif RSY dan RRY pada hakikatnya adalah ingin melahirkan agen-agen masyarakat yang berakhlak mulia dan menyeru ke arah kebaikan, keharmonian, toleransi, keadilan dan segala sifat-sifat mulia serta menghindari segala bentuk kejahatan sama ada dalam rupa korupsi, penindasan dan kebencian,” katanya dalam kenyataan kepada AlHijrah Online di sini hari ini.

Kenyataan media itu dikeluarkan sebagai reaksi kepada kenyataan pihak tertentu di dalam media sosial yang mendakwa surat Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik kepada ketua jabatan berkaitan untuk memberi kebenaran kepada pelaksanaan program YADIM di sekolah dan IPT sebagai usaha Islamisasi atau dakwah di institusi pengajian.

Tuan Kamarul Arief berkata, masyarakat khususnya rakan-rakan bukan beragama Islam, sewajarnya tidak perlu berasa gundah dengan surat yang dikeluarkan Menteri Pendidikan itu.

Beliau berkata tindakan YADIM bertemu dengan Maszlee secara rasmi dan surat kepada ketua-ketua jabatan itu menandakan ketelusan kerajaan pada hari ini dalam melaksanakan sesuatu inisiatif mengikut prosedur sewajarnya.

“Secara jelasnya, surat yang ditularkan tidak pernah memaksa mana-mana pelajar sama ada muslim atau bukan muslim untuk menyertai inisiatif itu. Kehadiran RSY di IPT dan RRY di sekolah hanya akan menyuburkan lagi semangat kesukarelawan, aktivisme dan kekitaan dalam kalangan mahasiswa dan pelajar,” kata Tuan Kamarul Arief menjelaskan jawatankuasa RSY peringkat kebangsaan turut dianggotai beberapa pimpinan mahasiswa bukan Islam.

Beliau menegaskan YADIM terus komited menggalakkan dialog dan aktiviti silang budaya dalam kalangan anak muda melalui pelaksanaan RSY dan RRY.

“Dialog dan aktiviti silang budaya yang terkandung dalam konsep ‘Li Tarafu’ atau saling mengenali amat dianjurkan dalam Islam akan melahirkan generasi muda Malaysia yang saling menghormati, meraikan perbezaan dan melihat kepelbagaian sebagai sumber kekuatan dan bukannya kelemahan seperti mana ditanggapi golongan rasis dan Islamophobik,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif YADIM itu berkata penjelasan dalam isu itu amat penting bagi menepis persepsi Islamophobia yang cuba dimainkan pihak tertentu yang hanya mahukan publisiti, sekali gus mengheret badan dakwah ke polemik picisan. – AlHijrah Online

Leave a Reply