BEKALAN AIR DI EMPAT KAWASAN HAMPIR PULIH

Last Updated on

8

KUALA LUMPUR: Bekalan air di kawasan Petaling, Sepang, Hulu Langat dan Kuala Langat yang terjejas ekoran pencemaran bau di Sungai Semenyih hampir pulih sepenuhnya, dengan pemulihan keseluruhan mencapai tahap 98.4 peratus pulih setakat 6 pagi tadi.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Abdul Halem Mat Som berkata berdasarkan bacaan semasa peratusan pemulihan, di Petaling menunjukkan tahap 97.3 peratus pulih, Hulu Langat 98.8 peratus, Sepang dan Putrajaya 99.1 peratus, dan di Kuala Langat telah pulih sepenuhnya.

“Walaupun bekalan air semakin pulih di hampir semua kawasan, Air Selangor masih menggerakkan bantuan kecemasan seperti lori tangki, PKS (Pusat Khidmat Setempat) dan pili-pili awam sehingga keseluruhan kawasan pulih sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan di sini, pagi ini.

Menurutnya pengguna yang ingin mendapatkan perkembangan terkini berhubung gangguan itu, boleh merujuk aplikasi telefon pintar Air Selangor, Facebook dan Instagram atau layari laman sesawang di http://www.airselangor.com

Sabtu lepas, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sepenuhnya ekoran insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih, berpunca daripada perbuatan tidak bertanggungjawab pihak tertentu membuang bahan sisa buangan haram di lurang pembentungan sekitar loji milik Indah Water Konsortium Sdn Bhd.

Susulan penutupan itu 366 kawasan dengan akaun pengguna sebanyak 328,957 di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang telah terjejas. –BERNAMA

Leave a Reply