PROSES CUCI TONG BERISI SISA KIMIA PUNCA SUNGAI AUR BERTUKAR BIRU

Sumber gambar: NewsExplorer

SHAH ALAM: Kegiatan haram sebuah premis menjalankan proses mencuci tong-tong terpakai dipercayai berisi sisa kimia, sehingga menyebabkan Sungai Aur, Klang, dekat sini bertukar biru, dibongkar Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, semalam.

Pengarah JAS Selangor Nor Aziah Jaafar berkata operasi berakhir 8 malam itu dijalankan bersama penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menemukan ratusan tong terpakai.

“Kami menemui ratusan tong terpakai yang tersedia untuk dicuci di satu ruang terbuka dan aliran air berwarna biru turut ditemui di longkang di luar premis sehingga ke longkang besar berhampiran.

“Kegiatan mencuci tong-tong terpakai berisi sisa kimia yang dikategorikan sebagai buangan terjadual dengan kod SW409 itu dijalankan tanpa sebarang kelulusan JAS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata premis itu telah dikenakan notis Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) mengikut Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi menghentikan pencemaran dan sehingga siasatan lanjut selesai dijalankan.

Seorang lelaki berumur lewat 40an turut ditahan bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 34A, Seksyen 34B, Seksyen 25, Seksyen 18 dan Seksyen 19 Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

“Sementara itu, kompaun keseluruhan bernilai RM500,000 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

“Beberapa sampel air berwarna dan sisa buangan terjadual berkaitan kes akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisis lanjut,” katanya.

Beliau berkata JAS Selangor memandang serius kesalahan yang dilakukan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

“Saya juga menyeru orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau emel ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my,” katanya. –AlHijrah Online

Leave a Reply