QARI CILIK, AHMAD AZFAR DINOBATKAN TOKOH MAAL HIJRAH MELAKA 1445H

MELAKA TENGAH: Qari cilik, Ahmad Azfar Azraie, 11, diumum antara penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1445H/2023M peringkat Negeri Melaka.
Kanak-kanak berbakat besar dalam bidang tarannum itu dinobatkan sebagai Tokoh Tunas Harapan (Anugerah Uwais Al-Qarni) sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah 1445H/2023M peringkat Negeri Melaka, yang berlangsung di Masjid al-Azim, di sini semalam.
Anugerah tersebut disampaikan Yang Di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.
Ahmad Azfar sebelum ini pernah menjadi Johan E-Tarannum Sekolah-Sekolah Peringkat Kebangsaan pada 2022 dan 2021 dan Johan Tilawah al-Quran Ihtifal KAFA Peringkat Kebangsaan pada 2021.
Qari cilik yang juga merupakan anak kepada qari Malaysia, Azraie Abdul Hak itu turut telah mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.
Ahmad Azfar berjaya menjadi Naib Johan Tilawah Kanak-Kanak (Tijan-Nour) peringkat Antarabangsa di Qatar (2022) dan Johan Tilawah Antarabangsa bawah 15 tahun di Algeria (2023).
Sebelum ini, Ahmad Azfar mendapat Anugerah Khas Murid Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) peringkat Kebangsaan pada tahun ini.
Pada majlis semalam beberapa lagi individu turut diangkat menjadi Tokoh Maal Hijrah Melaka 2023 bagi kategori perkhidmatan awam, agensi penguatkuasa, keluarga mitahli, penggerak masyarakat, belia Islam, pentadbir masjid, aktivis muslim, dan usahawan Islam.
Manakala bagi kategori utama iaitu Anugerah Abu Bakar As-Siddiq diberikan kepada Mantan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Othman Muhammad. —AlHijrah Online