MAKKAH: Tahun lalu diberikan rezeki Juara Qari Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa, tahun ini Muhammad Qayyim Nizar Sarimi bersyukur dianugerahkan pula nikmat menunaikan haji.
Muhammad Qayyim, 26, yang mempunyai masalah penglihatan sejak kecil itu ditemani ayah dan ibunya, Sarimi Yusof, 59, dan Rozan Mohamed, 51, bagi perjalanan menjadi duyufurrahman.
Pemuda berasal dari Kelantan itu memaklumkan jemputan menunaikan haji tahun ini ialah berdasarkan penggiliran selepas mendaftar haji pada 2009.
Berkongsi perasaannya, Muhammad Qayyim berkata dia bersyukur apabila menerima jemputan malah turut bedoa agar dipercepatkan keberangkatannya ke Tanah Suci.
“Apabila saya dapat tahun diterima tunai haji perasaan saya teruja dan gembira kerana Allah SWT telah tunaikan nikmat-Nya kepada saya.
“Sebelum berangkat ke Tanah Suci saya ada peperiksaan akhir, saya dah tak fikir sangat berkenaan peperiksaan dan sentiasa berdoa Allah SWT percepatkan hari saya berangkat untuk tunai haji,” katanya ketika ditemui di Bangunan Penginapan Jemaah Malaysia di Makkah.
Penuntut Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dalam bidang tahfiz dan pengurusan itu berkata beliau dan keluarga telah melakukan persediaan rapi bagi perjalanan melengkapkan rukun Islam kelima termasuk hadir ke kursus haji selama 13 minggu dan kursus perdana haji.
Jemputan menunaikan ibadah haji kata Muhammad Qayyim adalah peluang untuk dirinya mendekatkan lagi diri kepada Allah SWT.
“Perjalanan haji satu perjalanan yang mendekatkan diri saya lebih dekat kepada Allah SWT sebab dekat Malaysia kadang-kadang saya lalai dalam mengerjakan ibadah dan panggilan ini ibarat Allah SWT ingatkan saya untuk dekatkan lagi diri kepadanya,” katanya.
Anak sulung dari enam beradik itu berkata beliau menjangkakan cabaran buat dirinya dalam perjalanan haji ini ialah ketika ibadah melontar jamrah disebabkan keterbatasan penglihatan.
Pun begitu, bapanya memaklumkan beliau akan cuba membawa Muhammad Qayyim melontar pada jarak dekat bagi memudahkan anak kesayangannya itu melakukan ibadat terbabit.
Muhammad Qayyim telah bergelar juara qari peringkat kebangsaan sebanyak empat kali iaitu pada 2012, 2017, 2020 dan 2023.
Beliau juga terkenal dengan kemahiran tingginya menguasai 7 jenis taranum iaitu baiyati, soba, hijaz, nahwand, rast, sikah serta jiharkah. – AlHijrah Online