QATAR-ARAB SAUDI BERDAMAI?

Image
Kushner bertemu Sheikh Tamim Hamad Al Thani di Doha pada Rabu.

DOHA: Dunia Islam kini sedang memerhati, sejauh mana peranan Amerika Syarikat, melalui utusan Presiden Donald Trump, Jared Kushner berjaya memulihkan hubungan Doha-Riyadh yang keruh sejak lebih tiga tahun lalu.

Ketegangan itu turut mencetus senario ‘bermasam muka’ antara beberapa negara teluk dengan Qatar.

Kushner dilapor memulakan misinya dalam usaha memulihkan kembali masalah diplomatik berkenaan, dengan pertemuan awal minggu ini bersama Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman di Riyadh.

Kushner, menantu Trump yang juga Penasihat Kanan White House itu kemudiannya menuju Doha bagi pertemuannya dengan Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani.

Sementara itu, media antarabangsa melaporkan Kushner telah pun meninggalkan Doha. Ia antara usaha saat-saat akhir pentadbiran Trump, sebelum menyerahkan kuasa kepada pentadbiran baharu di bawah Presiden ke-46, Joe Biden.

“Beberapa pegawai rasmi Amerika Syarikat menyatakan intipati perbincangan antara Kushner dengan dua pemimpin negara Islam itu adalah bagi menyelesaikan pertikaian yang menjurus kebenaran untuk pesawat Qatar terbang dan melalui ruang udara Arab Saudi dan Emeriah Arab Bersatu (UAE)”.

Wall Street Journal

Pun begitu, Bloomberg pula melaporkan, perjanjian yang hampir menjadi kenyataan itu, tidak melibatkan UAE, Bahrain dan Mesir – sekutu Arab Saudi yang turut mengenakan pelbagai sekatan ke atas Qatar.

Konflik sesama negara-negara teluk itu tercetus pada Jun 2017, dengan terputusnya hubungan diplomatik dan perdagangan sesama mereka.

Qatar ketika itu dituduh menyokong aktiviti keganasan dan mempunyai hubungan sangat rapat dengan Iran – negara yang diketahui dunia, sangat tidak disenangi Arab Saudi.

Doha bagaimanapun menyangkal tuduhan tersebut dan menyifatkannya sebagai tidak berasas. Doha juga dilapor bersedia untuk berunding bagi mencari jalan penyelesaian.

Image of Qatar and Saudi flags [File photo]
Bendera Arab Saudi dan bendera Qatar

Bagaimanapun, 13 syarat dikenakan ke atas Qatar, bagi memulihkan hubungan dengan empat negara teluk berkenaan. Ia termasuk arahan penutupan agensi berita antarabangsa berpangkalan di Doha, iaitu Al Jazeera Media Network.

Sementara itu, WSJ turut melaporkan negara-negara teluk yang memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar telah meredakan sekatan berkenaan, malah Arab Saudi sendiri menunjukkan kesediaannya untuk mencari kesepakatan untuk menyelesaikan konflik tersebut. – AlHijrah Online / Ardi Herman Mohd Mardzi

Leave a Reply