WANITA MAUT DIHEMPAP KERETA TERJUNAM DARI KONDOMINIUM

GEORGETOWN: Seorang wanita maut akibat dihempap sebuah kereta yang terjunam dari tingkat satu sebuah kondominium di Green Lane, tengah hari tadi.

Mangsa, Kim Hui Ping, 49, maut di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di bahagian badan.

Manakala pemandu kereta yang merupakan wanita warga emas yang berusia 71 tahun, turut mengalami kecederaan akibat tersepit di dalam kenderaannya.

Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, warga emas yang memandu kereta Toyota jenis Vios itu dikatakan memandu kenderaannya menuju ke tempat letak kereta di tingkat satu kondominium tersebut.

Namun setibanya di selekoh, seorang pejalan kaki telah melintas secara tiba-tiba di hadapan kenderaannya dan menyebabkan warga emas itu tertekan pedal minyak lalu melanggar mangsa.

Mangsa kemudiannya turut terseret sebelum kenderaan itu merempuh tembok tempat letak kereta lalu terjatuh ke atas sebuah kereta di parkir bawah bangunan tersebut.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu, Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Yusri Zakaria memaklumkan, pemandu kenderaan yang tersepit berjaya dikeluarkan sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.

Bedah siasat akan dijalankan ke atas mangsa yang meninggal dunia esok selepas mendapat keputusan ujian COVID-19.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.–AlHijrah Online

Leave a Reply