TEMBAK PGA: 15 LAGI DIREMAN

KANGAR: Seramai 15 lagi lelaki warga tempatan direman bagi membantu siasatan berhubung insiden berbalas tembakan dengan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand, minggu lalu.

Perintah reman dikeluarkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kangar, Siti Nor Hasliza Md Ali, yang bermula hari ini hingga 9 Disember itu.

Terdahulu, 14 daripada suspek yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 40-an tiba di mahkamah pada 10 pagi dalam keadaan bergari, manakala seorang lagi sedang dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.

Menurut Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad, perintah reman terbaharu itu menjadikan seramai 37 suspek sudah ditahan setakat ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 dan 307 Kanun Keseksaan kerana membunuh serta cubaan membunuh.

Dalam kejadian awal pagi 24 November lalu, seorang anggota PGA, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terkorban manakala rakannya Sarjan Norihan a/l Tari, 39, parah selepas berbalas tembak dengan sekumpulan penyeludup, di pos kawalan TS9 di Padang Besar.–AlHijrah Online

Leave a Reply