RAJA SALMAN PERUNTUKKAN RM5.7 JUTA AGIHAN IFTAR DAN BANTUAN RAMADAN UNTUK 18 NEGARA

KUALA LUMPUR: Penjaga Dua Tanah Suci Umat Islam, Raja Salman bin Abdul Aziz Al-Saud memperuntukkan SAR5 juta (RM5.7 juta) pada tahun ini untuk disalurkan ke 18 negara, termasuk Malaysia sebagai sumbangan iftar dan bakul bantuan Ramadan.

Kedutaan Arab Saudi di Malaysia dalam kenyataannya hari ini berkata, sumbangan menerusi Program Iftar Khadimul Haramain Al-Syarifain (IFTARKHS) 1441H itu diuruskan pejabat atase agamanya.

Memandangkan tiada majlis iftar (berbuka puasa) jama’i diadakan pada tahun ini ekoran kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sekurang-kurangnya 15,000 pek berbuka puasa akan diagihkan sepanjang Ramadan, termasuk 1,000 bakul bantuan barangan asasi.

Kenyataan itu berkata agihan pek makanan berbuka itu akan diagihkan Pertubuhan Ilmuan Malaysia (iLMU) dengan kerjasama CDERT Ohhsem Network dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang akan menyelaras aspek keselamatan dan kawasan agihan selain ZeptoExpress bertindak sebagai penghantar sumbangan kepada kelompok sasaran.

“Program kali ini lebih memfokuskan agihan kepada petugas barisan hadapan dari kalangan petugas kesihatan, keselamatan, media dan pusat-pusat kuarantin serta rumah-rumah mereka yang terjejas dari PKP ini.

“Bakul bantuan barangan asasi pula sebahagian besarnya akan disalurkan kepada masyarakat orang asli dan selebihnya kepada beberapa NGO negeri,” kata kenyataan Kedutaan Arab Saudi di Malaysia itu.

Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr Mahmoud Hussin Qattan menyempurnakan penyerahan bakul bantuan barangan asasi untuk 300 keluarga orang asli di Kedutaan Arab Saudi Malaysia hari ini kepada Yang DiPertua Badan Kebajikan Orang Asli Islam Malaysia (BAKOAIS), Othman Baba.

Duta Arab Saudi itu juga menyempurnakan pelepasan pertama agihan pek makanan berbuka yang diterima rider ZeptoExpress. – AlHijrah Online

Leave a Reply