#RapatkanSaf JENAMA PERPADUAN UMMAH 1438H
“Kita kena berani dalam soal merapatkan saf. Ini soal ummah dan untuk memulakan langkah pelopor, media massa wajar jadi contoh,” kata Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Izelan Basar.
Malam tadi secara langsung dari Alhijrah Big Studio (ABS) Cyberjaya, TV Alhijrah menganjurkan konsert #RapatkanSaf yang dipancarkan serentak di 6 saluran televisyen perdana dan Radio Ikim.
Konsert Islami yang menyatukan artis popular tanah air, Indonesia dan Singapura itu turut bersiaran langsung selama dua jam di TV9, RTM1, Astro Oasis, Bernama TV dan Hypp TV.
“Kita mahukan suara dakwah Nusantara menjadi jendela sambutan Maal Hijrah 1438,” kata Izelan.
Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Ramli Sarip dan Opick menjadi nadi tiga negara dalam konsert yang bersiaran mulai 9.00 malam.
#RapatkanSaf turut disertai Mawi, Syamsul Yusuf, Awi Rafael, Tomok, Altimet, Heliza dan Al Farabi.
Penampilan hos pelbagai stesen televisyen itu turut dimeriahkan dengan sesi takzirah Ustaz Don Daniyal Don Biyajid.
Menurut Izelan, tajaan Permodalan Nasional Berhad dan penaja bersama Dinar Dirham, Cikgu Hafiz dan Al Baghdadi menjadikan tema #RapatkanSaf turut mendapat perhatian jenama Islam.
“Kita lakukan atas nama ummah. Tanpa mengejar keuntungan. Ini untuk Islam,” kata Izelan.