RASULULLAH SAW IKUTAN TERBAIK UMAT MANUSIA

KUALA LUMPUR: Rasulullah SAW adalah ikutan yang terbaik kepada semua umat manusia dari segenap aspek kehidupan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata, baginda juga merupakan ikon penyatuan ummah.

“Hal ini boleh dilihat melalui sirah baginda Nabi Muhammad SAW di bumi Madinah yang berjaya menyatukan Aus dan Khazraj melalui Piagam Madinah,” kata Idris dalam catatan di Facebook sempena Maulidur Rasul 1444H hari ini.

Menurut Idris, Maulidur Rasul berasal daripada bahasa Arab yang membawa maksud kelahiran Nabi Muhammad SAW.

Katanya kelahiran baginda membawa rahmat kepada sekalian makhluk di seluruh alam dan merupakan utusan terakhir dalam menyebar syiar Islam.

Sementara itu Idris memaklumkan tema ‘Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran’ amat sesuai diangkat bagi Sambutan Maulidur Rasul tahun 1444H/2022M.

“Kita semua merupakan sebuah keluarga, di mana para anggotanya tinggal dalam suatu tempat di bawah suatu rumah dalam keadaan saling bergantungan.

“Justeru, marilah kita mengambil semangat sempena Sambutan Maulidur Rasul tahun ini untuk terus bertekat menjaga keharmonian dan keamanan sejagat di negara Malaysia tercinta ini,” katanya. – AlHijrah Online

Leave a Reply