KUALA LUMPUR: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO boleh mempertimbangkan sebarang rayuan yang dikemukakan oleh mana-mana ahli yang dikenakan tindakan disiplin parti itu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia selaras dengan Perlembagaan UMNO Fasal 20.12.
Terdahulu, Mesyuarat UMNO telah berlangsung pada 30 Jun 2025 bagi mengadakan perbincangan dan memperincikan beberapa perkara termasuk tarikh Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025.
“Tarikh PAU 2025 telah dipersetujui untuk ditunda kepada 26 hingga 29 November 2025, mengambil kira persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah.
“UMNO juga merakamkan ucapan setinggi-tingginya penghargaan kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu dan UMNO Perak kerana membantu segala pengurusan dan mengendalikan sumbangan kepada mangsa-mangsa tragedi kemalangan bas di Gerik yang turut meragut nyawa 15 pelajar UPSI,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, UMNO merasakan tiada kewajaran untuk parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia mengambil mana-mana ahli di kalangan parti-parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan Malaysia.
Jelasnya, tindakan itu adalah untuk mengelakkan tercetusnya prasangka dan ketidak-harmonian dalam Kerajaan.
“UMNO juga akan melaksanakan kajian separuh penggal keberkesanan dan prestasi Kerajaan Perpaduan Malaysia termasuklah pencapaian kepimpinan UMNO dalam anggota pentadbiran, agensi-agensi milik dan berkaitan kerajaan,” katanya.–AlHijrah Online