REMAJA BERTEMU AJAL SELEPAS BERBUKA PUASA

HULU SELANGOR: Seorang remaja maut akibat cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 34 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, di sini malam tadi.
Difahamkan mangsa sedang dalam perjalanan ke kedai telefon untuk membaiki telefon bimbitnya selepas berbuka puasa.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Ahmad Faizal Tahrim berkata, mangsa berusia 16 tahun telah menunggang motosikal dari rumahnya di Antara Gapi ke Bandar Rawang kira-kira jam 8.10 malam.
“Setibanya di lokasi, penunggang motosikal Yamaha Y15ZR itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas sendiri di garisan tengah.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala,” katanya hari ini.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu diminta tampil untuk membantu siasatan,” katanya.—AlHijrah Online