REMAJA MAUT KETIKA DALAM PERJALANAN DAFTAR UNIVERSITI

GOPENG: Hasrat seorang remaja lelaki berusia 18 tahun untuk mendaftar masuk universiti tidak kesampaian apabila dia maut selepas kereta dinaikinya terbabit nahas dengan sebuah treler di Lebuh Raya Utara- Selatan arah selatan pada Kilometer 301.5, di sini.
Mangsa, Muhammad Zweill Haikal Ghazali disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.
Kejadian pada jam 6.22 pagi itu turut mengakibatkan ibu mangsa serta dua abang dan adik lelakinya cedera.
Ketua Polis Daerah Kampar,Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, kemalangan membabitkan kereta jenis Proton Savvy dinaiki lima beranak itu dengan sebuah treler dipandu lelaki berusia 50 tahun.
Beliau berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke Cyberjaya untuk mendaftarkan dirinya dan abang berusia 20 tahun di Universiti Malaya (UM).
“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta dipandu abang mangsa berusia 24 tahun dipercayai gagal dikawal lalu melanggar bahagian belakang sebelah kanan treler yang sedang bergerak di Lorong sebelah kiri.”
“Pelanggaran tersebut telah menyebabkan mangsa yang duduk di bahagian penumpang belakang parah di kepala dan maut di lokasi kejadian,” Katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kemalangan itu turut menyebabkan pemandu kereta mengalami pendarahan di perut manakala ibu mangsa pula patah paha kiri.
Sementara itu, pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut. Siasatan kes dijalankan mengikut 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” Katanya.–AlHijrah Online