RENTAS DAERAH DIBENARKAN BERMULA 5 MAC

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini mengumumkan kebenaran rentas daerah di semua negeri kecuali Sabah.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kebenaran itu bermula 5 Mac ini.

“Sidang khas bersetuju membenarkan pergerakan rentas daerah di seluruh negeri kecuali Sabah manakala rentas negeri masih tidak dibenarkan,” katanya dalam sidang media khas hari ini.

Katanya rentas daerah di Sabah dikekalkan atas permintaan kerajaan negeri untuk tempoh dua minggu lagi.

“Sabah negeri yang amat besar satu daerah lebih besar dari kebanyakkan negeri di Semenanjung. Sama dengan rentas negeri kalau rentas daerah di Sabah.

“Sebab itu kerajaan negeri minta tangguh dulu,” katanya.

Kerajaan turut mengumumkan status Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang ditukar dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada PKP Bersyarat (PKPB).

Manakala Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan ditukar status daripada PKPB kepada PKP Pemulihan (PKPP).

Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Sarawak dan Perak kekal berstatus PKPB, sementara Perlis pula masih berstatus PKPP.

Kesemua arahan itu katanya berkuatkuasa 5 Mac hingga 18 Mac 2021 kecuali Sarawak yang berkuatkuasa dari 2 Mac hingga 15 Mac 2021. — AlHijrah Online

Leave a Reply