RESTORAN, KEDAI SERBANEKA DIBENAR OPERASI SEHINGGA 12 TENGAH MALAM

Sumber Gambar: AFP

KUALA LUMPUR: Pemilik premis kedai serbaneka, stesen minyak, restoran atau kedai makan dibenarkan beroperasi bermula jam 6 pagi hingga 12 tengah malam, bagi semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Keputusan tersebut diputuskan dalam Mesyuarat kedua Menteri Kuartet COVID-19, hari ini.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kebenaran tersebut bagaimanapun tidak diguna pakai bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Ini akan diangkat ke Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik esok untuk disyorkan oleh YAB Perdana Menteri sebelum diputuskan tarikh berkuatkuasa,” dalam kenyataannya, hari ini.

Tambah Hishammuddin, mesyuarat tersebut turut memberi fokus kepada usaha menambahbaik prosedur operasi standard (SOP) yang telah diumumkan kepada orang ramai sebelum ini dan mempermudahkannya daripada 181 SOP kepada 10 sahaja.

“Usaha ini berjalan dengan baik sekaligus memberi keyakinan ia dapat diselesaikan seperti dirancang pada permulaan bulan Oktober,” katanya. —AlHijrah Online

Leave a Reply