RIBUAN HADIR QIAMULLAIL PERDANA SIRI 2

PUTRAJAYA: Lebih 2,000 jemaah hadir pada program Qiamullail Perdana Siri 2 yang diadakan di Masjid Putra, Putrajaya pagi tadi.

Program yang bermula jam 4.30 pagi itu merupakan kesinambungan majlis serupa pada Jun lalu dan ia turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.

“Inilah kekuatan Islam. Kita bersatu di saf solat. Kita berpadu di masjid.

“Pemimpin perlu bersujud kepada Allah. Anggota perkhidmatan awam perlu bersujud kepada Allah. Ibu bapa perlu bersujud kepada Allah. Anak-anak perlu bersujud kepada Allah. Ia akan mendidik hati dan diri kita sebagai hamba. Kita sedar diri, Allah sentiasa Maha Melihat setiap tindakan kita,” kata Idris dalam catatan di Facebooknya.

Ujarnya apabila beliau diamanahkan memimpin Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), menggerakkan kekuatan solat dalam masyarakat adalah menjadi keutamaannya.

“Tahniah kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dan Masjid Putra sebagai penganjur.

“Tahniah juga kepada TV AlHijrah yang menyiarkan secara langsung Qiamullail Perdana pagi ini. TV AlHijrah membuka lembaran baharu dalam dunia penyiaran negara,” katanya.

Antara pengisian utama program pagi tadi ialah qiamullail secara berjemaah yang akan dipimpin oleh Qari Ustaz Ahmad Tirmizi Ali, solat Subuh berjemaah, dan penyampaian tausiah.

Program pagi tadi boleh disaksikan semula di Facebook rasmi TV AlHijrah.– AlHijrah Online

Leave a Reply