RUJUK URUSAN AGAMA KEPADA PIHAK BERKUASA, ILMUAN YANG DIPERAKUI

KUALA LUMPUR: Sebarang perkara dalam urusan agama khususnya dalam bidang akidah dan syariah perlulah diserah serta dirujuk kepada pihak berkuasa agama Islam negeri serta para ilmuan yang diperakui kepakarannya dalam disiplin ilmu tersebut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata semua pihak dipohon untuk menghentikan perbalahan serta persengketaan yang boleh memusnahkan perpaduan dan keamanan negara.
“Saya menyeru kepada semua pihak agar lebih bertanggungjawab serta tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan ucapan yang boleh mencetus perbalahan, ketegangan dan kegelisahan dalam masyarakat.
“Apatah lagi kenyataan-kenyataan yang menyentuh urusan agama Islam dan kefatwaan.
“Semua pihak perlu bersatu hati untuk membangunkan negara agar lebih maju, makmur, berdaya saing dan aman sentosa,” katanya ketika Sesi Penggulungan Perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMKE-12) di Dewan Rakyat.
Mohd Na’im berkata pihaknya amat khuatir dengan tindakan sesetengah pihak yang mengeluarkan kenyataan yang bersifat menghukum pihak-pihak yang tidak sealiran fahaman dengan kumpulan masing-masing.
Situasi itu katanya akan mencetuskan bibit-bibit perpecahan yang lebih serius dan mengancam keselamatan negara.
Beliau menjunjung tinggi titah Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang menggesa semua pihak terutamanya pemimpin politik agar mengambil tanggungjawab untuk memperkukuh perpaduan demi kesejahteraan negara.
“Semua pemimpin perlu akur dan menghayati sepenuh hati akan titah Sultan Selangor supaya semua pemimpin tidak memperalat agama bagi meraih sokongan yang akhirnya rakyat akan menjadi mangsa kepada perbalahan orang-orang politik.
“Selain itu, Sultan Selangor juga telah bertitah bahawa perbuatan mengeluarkan fatwa secara tidak bertanggungjawab oleh pemimpin politik juga perlu dihentikan demi memelihara perpaduan rakyat di negara ini,” katanya.
Tambah Mohd Na’im Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah menggerakkan seluruh agensi untuk memperkukuh kesatuan dan perpaduan umat Islam melalui pelbagai usaha dan inisiatif termasuk memperkukuh peranan institusi masjid dan surau sebagai pusat penyatuan ummah.
Beliau menyeru semua pihak agar mengemukakan buah fikiran serta idea-idea untuk membangunkan rakyat dan pembangunan negara dan hentikan segala kenyataan-kenyataan yang menyentuh sentimen keagamaan dan perkauman. — AlHijrah Online