RUKUN NEGARA BUKAN HANYA DIJULANG MELALUI BACAAN – AGONG

KUALA LUMPUR: Prinsip Rukun Negara adalah formula untuk kekal menyatupadukan rakyat negara ini dan ia perlu dihayati dan dijulang tidak hanya menerusi bacaan pada setiap kali negara menyambut Hari Kebangsaan.
Titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdulllah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, roh dan semangat rukun negara hendaklah dihayati dan diamalkan dalam setiap aspek kehidupan seharian.
“Lima prinsip Rukun Negara adalah formula bagaimana rakyat yang berbilang bangsa, agama, budaya dan bahasa boleh mengatasi segala perbezaan serta kepelbagaian tersebut, seterusnya hidup secara rukun dan damai.
“Rukun Negara juga menuntut sebuah negara bangsa yang dibentuk atas keteguhan pegangan agama yang kukuh, manakala rakyat pula dituntut untuk mencurahkan taat setia kepada raja yang menjadi payung dan lambang kedaulatan negara,” titah baginda.
Tambah baginda, Perlembagaan Persekutuan termasuk semua perkara hak keistimewaan yang telah disepakati sebelum ini hendaklah dihormati dan dipertahankan.
Seri Paduka bertitah demikian dalam Titah Diraja bersempena sambutan 50 tahun Rukun Negara dan Hari Kebangsaan 2020 di Putrajaya yang diadakan dalam norma baharu dan secara sederhana susulan penularan wabak COVID-19.
Sempena sambutan hari ini, Al Sultan Abdullah mengajak seluruh rakyat untuk menghargai serta menjaga kemerdekaan dan keamanan yang dikecapi negara.
“Sesungguhnya keharmonian dan kerukunan hidup dalam sebuah masyarakat yang berbilang kaum merupakan tunjang kepada kekuatan negara.
“Beta berkeyakinan, jika semangat yang terkandung dalam Rukun Negara terus dihayati dan tersemat kukuh di setiap jiwa rakyat Malaysia, insya-Allah, negara kita akan terus kekal aman dan damai serta akan menjadi sebuah negara yang kukuh dan makmur dengan rakyat yang bersatu padu,” titah baginda.
Turut berkenan berangkat ke sambutan Hari Kebangsaan dan Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Hadir sama, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta menteri-menteri kabinet.
Sambutan Hari Kebangsaan sempena ulangtahun kemerdekaan negara ke-63 tahun ini bertemakan ‘Malaysia Prihatin’. — AlHijrah Online