‘RUNNER’ DITANGKAP, SINDIKET PENGEDARAN DADAH AH SOON TUMPAS

JOHOR BAHRU: Sindiket pengedaran dadah Ah Soon berjaya ditumpaskan dengan penangkapan seorang ‘runner’ berusia 39 tahun dalam tiga serbuan yang dibuat polis di Bandar Seri Alam, Johor Bahru pada 26 dan 27 November lalu.

Dalam serbuan tersebut, pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM737,000 dirampas.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata sindiket ini beroperasi sejak enam bulan lalu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, bekalan dadah yang diperoleh dari utara tanah air itu untuk dipasarkan di Johor Bahru, dengan menggunakan khidmat penghantaran dadah terus kepada pelanggan.

“Penghantaran tidak menggunakan atas talian, jadi yang kita berjaya tangkap adalah ‘runner’ mereka.

“Siasatan masih diteruskan untuk mendapatkan maklumat lanjut, mungkin ada saki baki dadah yang dirampas dan saya yakin ini melibatkan ramai individu dalam sindiket ini,” kata beliau semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Antara dadah yang dirampas adalah 2.7 kilogram syabu, 12,000 pil ecstasy, 23,000 pil erimin 5, dan 530 gram ketamin.

Turut dirampas dua kenderaan, gelang perak dan wang tunai berjumlah RM1,700.

Jelas Ayob Khan, hasil saringan air kencing suspek atau ‘runner’ tersebut menunjukkan keputusan negatif tetapi terdapat rekod jenayah lampau dibawah Seksyen 373 Kanun Keseksaan.

Suspek direman selama 7 hari hingga 4 Disember, dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahayaa 1952.–AlHijrah Online

Leave a Reply