RUU 355: “SAYA BERHARAP INSYAALLAH IA DAPAT DIREALISASIKAN SEBELUM SAYA MATI”

KUALA LUMPUR: “Saya berharap insya-Allah ia dapat direalisasikan sebelum saya mati,”

Demikian ucapan Menteri di Jabatan Agama Menteri Hal Ehwal Agama ketika ditanya tempoh masa untuk merealisasikan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Jelas Zulkifli kerajaan amat memahami dan menghargai keprihatinan ahli dewan serta seluruh rakyat malaysia dalam memperkasa dan menaiktaraf institusi Mahkamah Syariah.

“Sungguhpun demikian, sebelum ia dibentangkan di Dewan yang mulia ini, beberapa proses penting perlu diteliti dan dilaksanakan terlebih dahulu agar ia dapat digubal dan dibentangkan mengikut tertib dan teratur, berdasarkan kerangka Perlembagaan Negara.

“Bagi meminda akta ini, ianya perlu dibincang di dalam Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil. Jawatankuasa ini ditubuhkan oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) bagi menilai dan menyeragamkan segala pindaaan dan penggubalan undang-undang melibatkan hal ehwal Islam,” katanya.

Zulkifli juga berkata adalah amat wajar sekiranya cadangan untuk meminda akta ini dirundingi dengan negeri-negeri terlebih dahulu agar ia menjadi satu undang-undang yang mantap, komprehensif dan mewakili aspirasi semua negeri di Malaysia.

Selain itu, katanya pindaan ini juga perlu disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja bagi mendapatkan pandangan dan perkenan.

Perkara ini katanya kerana hal ehwal agama termasuk Mahkamah Syariah dan udang-undang kesalahan jenayah syariah terletak di bawah bidang kuasa negeri.

“Sebaik sahaja semua proses dan tertib tersebut selesai dilaksanakan mengikut lunas undang-undang dan perlembagaan, barulah pindaan tersebut boleh dibentangkan di Dewan yang mulia ini apabila tiba masa yang sesuai,” katanya.

Persoalan berkenaan pindaan Akta 355 dibangkitkan oleh ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. — AlHijrah Online / Zaim Zamani

Leave a Reply