‘SAYA AKAN LAKUKAN SEGALANYA DEMI KEADILAN BELLA’

Gambar Hiasan – Bernama

KUALA LUMPUR: Pendedahan demi pendedahan saksi kes penderaan seorang remaja perempuan sindrom down yang dikenali sebagai Bella mengundang pelbagai reaksi masyarakat yang rata-rata marah dengan tindakan kejam yang dilakukan ke atas remaja itu.

Kes penderaan itu turut menarik perhatian Che’ Puan Khaleeda Bustaman iaitu isteri kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Ibni Sultan Ibrahim.

Menerusi hantaran di Instagram, Che’ Puan Khaleeda menegaskan akan melakukan segala yang mungkin demi mendapatkan keadilan buat Bella.

“Saya kecewa dan letih melihat si pengecut yang merasakan mereka boleh buat apa saja terhadap kanak-kanak teraniaya dan melepaskan diri.

“Kamu boleh bersembunyi di belakang barisan peguam tetapi karma akan datang kepada kamu di dunia dan di akhirat,” kata Che’ Puan Khaleeda.

Sebelum ini Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju, di sini antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – AlHijrah Online

Leave a Reply