SAYA SAKSI KEGIGIHAN, KESUNGGUHAN, DAN KEAKTIFAN ZULKIFLI SEBAGAI MENTERI…

OLEH: NASRUDIN HASSAN / YANG DIPERTUA YAYASAN DAKWAH ISLAMIAH MALAYSIA (YADIM)

Semoga Sabar dan Tabah Depani Ujian

Sebentar tadi pihak KKM telah menghubungi saya untuk memaklumkan keputusan ujian Covid-19 yang saya jalani tengah hari kelmarin.

Alhamdulillah, keputusannya negatif. Namun saya dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk terus menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari sehingga 18 Oktober 2020.

Syukur kepada Allah SWT dan terima kasih banyak-banyak buat sahabat dan rakan taulan yang tidak putus mendoakan saya dan keluarga serta sahabat seperjuangan yang lain agar sentiasa sihat dan bebas dari wabak.

Saya menjalani ujian Covid-19 tersebut setelah mendapat berita bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri disahkan positif Covid-19.

Marilah sama-sama kita doakan agar YB Dr. Zul dan pesakit-pesakit lain juga segera diberikan kesembuhan dan kesihatan oleh Allah SWT. Sungguh, sakit juga adalah ujian dari Allah SWT. Untuk mendidik hambaNya agar sentiasa ingat dan dekat kepadaNya. Justeru itu, kurniakan jua Ya Allah, akan kesabaran dan pahala berganda buat mereka.

Saya menjadi saksi kegigihan, kesungguhan dan keaktifan YB Dr. Zul dalam menunaikan tugasnya sebagai menteri yang menjaga hal ehwal agama.

Namun, sebagaimana yang dicatat sendiri oleh YB Dr. Zul bahawa beliau memohon maaf atas kelemahan dan kekurangan beliau. Bahkan sebenarnya kita semua (termasuk saya) memang sering terperangkap dalam kelemahan dan kekurangan tersebut. Perlu sentiasa berhati-hati.

Saya antara yang agak erat dan rapat dengan YB Dr. Zul dan sering mengiringi beliau ke pelbagai program. Sungguh saya menyaksikan bahawa beliau memang sedaya upaya berusaha mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh KKM.

Namun “kelemahan” ketara beliau ialah tidak sanggup menolak undangan terutama dari agensi-agensi yang berada di bawah tanggungjawab beliau.  

Isu terbaharu apabila timbul rintihan mahasiswa yang mengalami kesusahan ekoran sebahagian universiti menjadualkan sesi pengajian mereka secara dalam talian dan menutup pendaftaran secara fizikal. Maka YB Dr. Zul pantas menghubungi pelbagai agensi di bawahnya termasuk YADIM untuk menyalurkan bantuan kepada mahasiswa.

Saya lihat beliau seperti “tidak senang duduk” lalu mengarahkan kami menyusun tindakan untuk agihan bantuan.

Watak beliau memang lembut, namun tegas dengan keputusan dan lebih aktif.

Seperkara yang paling sukar untuk ditangani, apabila beliau sebagai figura yang disayangi ramai itu turun ke lapangan, beliau sering diserbu untuk bergambar, mendapat nasihat dan lain-lain. Saya lihat jenuh juga jurugambar beliau memberi amaran dan arahan kepada hadirin agar jangan duduk dekat-dekat, tidak perlu hulur tangan untuk bersalam dan sebagainya.

Tetapi realitinya, seperti tiada apa-apa dan YB Dr. Zul jelas terpaksa menghadapi situasi sebegini setiap kali beliau turun padang. 

Mutakhir, beliau menjadi sasaran belasahan dan maki hamun musuh-musuh politiknya. Satu dilema yang sedang dihadapi oleh beliau. Tidak turun padang, dikata sebagai tidak buat kerja dan sebagainya. Turun ke medan, akan mendedahkan beliau pada situasi yang saya nyatakan tadi.

Kalau menolak program sahaja, beliau sudah tidak tergamak melakukannya, bagaimana beliau mahu menolak pihak yang mahu menghampirinya untuk dapatkan nasihat, doa, bergambar malah ada yang menghulur tangan untuk bersalam.

Akhirnya, apa yang berlaku ini, bukan satu kebetulan. Pada saya, ia adalah didikan Allah SWT buat kita semua. Agar kita belajar sesuatu untuk perjalanan dan kehidupan kita yang lebih baik di hari muka. Agar semua pihak lebih berhati-hati dan mematuhi SOP yang dikeluarkan.

Saya doakan agar YB Dr. Zul sabar dan tabah depani ujian ini. Jua dikurniakan keafiatan dan kesihatan oleh Allah SWT buat dirinya dan seluruh ahli keluarga, bahkan para pegawainya. 

Pagi ini saya mengirim mesej buat beliau, dengan menegaskan bahawa ujian penyakit Covid-19 ini tidaklah seberat tohmahan, fitnah dan kata kesat yang dilontarkan kepada beliau. Namun saya percaya YB Dr. Zul tenang menghadapi segala cabaran dan ujian ini.

Insyaallah, program dan aktiviti dakwah serta kebajikan akan terus berlangsung, ia diteruskan oleh sahabat-sahabat yang bertanggungjawab melangsungkannya.

Justeru itu, YB Dr Zul usah risau. Tumpukan pada kesihatan dan semoga cepat sembuh. Kelak, kita akan terus aktif bergelanggang bagi menunaikan tanggangjawab yang digalas. — AlHijrah Online.

Penafian: Artikel yang disiarkan AlHijrah Online ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.

Leave a Reply