SEKTOR PERKILANGAN PENYUMBANG TERBESAR COVID-19 DI SELANGOR, TIADA KLUSTER AIDILADHA DIKESAN

KUALA LUMPUR: Sektor perkilangan dilapor menjadi penyumbang terbesar kes baharu COVID-19 di Selangor ketika ini.

Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman dalam satu sidang media khas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai situasi semasa COVID-19 hari ini.

Beliau turut memaklumkan, setakat ini tiada kluster Hari Raya Aidiladha dikesan di Selangor dan ia petunjuk rakyat negeri itu akur dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Penyumbang kes utama di Selangor dari sektor perkilangan kemudian diikuti kluster perkhidmatan, kluster tapak bina, kluster perniagaan dan komuniti manakala kluster-kluster lain menunjukkan kes amat sedikit.

“Kalau lihat trend kes kita dapati tiada kluster berkaitan hari raya maknanya rakyat negeri Selangor amat akur dengan SOP dinyatakan semasa sambutan Hari Raya Aidiladha,” katanya.

Tambah Dr Sha’ari, daripada jumlah kes harian yang dicatatkan di negeri itu, sebanyak 40 peratus daripada kontak rapat diiikuti 22 peratus kes bergejala, 20 peratus kalangan pekerja dan 14 peratus daripada kluster bukan pekerja.

Semalam, Malaysia merekodkan 20,596 kes baharu COVID-19 dengan Selangor mencatatjab 8,549 kes. – AlHIjrah Online

Leave a Reply