Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

SEMARAK AMALAN BERWAKAF, BANTU MAHASISWA DENGAN MYWAQAFPTPTN

DALAM NEGARA

SEMARAK AMALAN BERWAKAF, BANTU MAHASISWA DENGAN MYWAQAFPTPTN

myWaqafPTPTN bertujuan membantu mahasiswa dalam bentuk biasiswa pendidikan tinggi yang akan mengurangkan bebanan bayaran balik pinjaman.

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyeru sokongan semua pihak berkepentingan, rakan-rakan strategik dan pelanggannya untuk menyemarakkan amalan berwakaf melalui myWaqafPTPTN.

Pengerusinya Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu mewujudkan myWaqafPTPTN sebagai dana wakaf pendidikan tinggi dengan kerjasama PTPTN dengan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bagi mempelbagaikan sumber dana pembiayaan PTPTN selain melalui pinjaman sedia ada.

“myWaqafPTPTN bertujuan membantu mahasiswa dalam bentuk biasiswa pendidikan tinggi yang akan mengurangkan bebanan bayaran balik pinjaman,” katanya dalam Majlis Mesra Bersama Pelanggan PTPTN 2024, di sini semalam.

Turut hadir pada majlis yang sama Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid, Lembaga Pengurusan PTPTN serta Pengurusan Tertinggi KPT dan PTPTN.

Dalam majlis yang sama, PTPTN turut menerima sumbangan untuk myWaqafPTPTN daripada syarikat korporat antaranya UOB Islamic Asset Management Sdn Bhd, Saturna Sdn Bhd, Uda Holdings Berhad, Principal Islamic Asset Management Sdn Bhd, Ninja Logistics Sdn Bhd dan Bank Muamalat Malaysia Berhad.

Katanya kesemua syarikat tersebut merupakan antara penyumbang terawal sejak myWaqafPTPTN dilancarkan pada 11 Mac 2024 lalu.

Norliza berkata, menariknya myWaqafPTPTN kerana setiap sumbangan kepada myWaqafPTPTN layak mendapat potongan cukai 10 peratus daripada pendapatan agregat di bawah Subseksyen 44 (11C) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Sementara itu, majlis tersebut turut diadakan penyampaian sijil penghargaan kepada 10 rakan strategik yang menyumbang kepada galakan penabungan dan bayaran balik pinjaman bagi tahun 2023 dan 2024.

Rakan strategiknya termasuk Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kerajaan Negeri Sarawak, Kerajaan Negeri Sabah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). 

“PTPTN merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga atas komitmen dan sokongan padu rakan strategik terlibat.

“PTPTN sebagai agensi yang memperkasa agenda pendidikan tinggi negara, sentiasa cakna dan prihatin dalam menyalurkan sumbangan kepada golongan kurang berkemampuan melalui program-program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk kebajikan dan kesejahteraan masyarakat.

“PTPTN turut memberikan sumbangan CSR berjumlah RM5,000 dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime kepada 10 orang pelajar istimewa iaitu lima orang pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan lima pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

“USIM telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan PTPTN dan sumbangan ini merupakan salah satu bentuk kerjasama strategik, tanda keprihatinan PTPTN dalam aspek pendidikan,” katanya.

PTPTN mengalu-alukan semua pihak untuk meneroka pelbagai bentuk kerjasama yang lebih bersepadu bersama PTPTN dengan menjadikan Simpan SSPN sebagai pilihan utama untuk pemberian insentif dan sumbangan dalam memartabatkan pendidikan tinggi negara sekali gus akan membantu meningkatkan kesedaran budaya menabung bagi tujuan pendidikan tinggi.

Dalam usaha menggalakkan budaya menabung, PTPTN turut proaktif dalam menganjurkan pelbagai kempen cabutan hadiah.

“PTPTN turut meraikan pemenang bagi kempen Cabutan Siri WOW! Gong Xi Ang Pow yang merupakan cabutan siri pertama bagi Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024 yang diadakan bermula 1 Januari 2024 sehingga 29 Februari 2024 yang menawarkan hadiah lumayan berupa wang tunai berjumlah RM100,000.

“Melalui tabungan dalam Simpan SSPN, pelbagai manfaat dan keistimewaan disediakan kepada pendeposit. Antaranya, pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, dividen yang kompetitif, simpanan yang dijamin Kerajaan dan patuh syariah,” katanya.

PTPTN dalam pada itu menegaskan, pihaknya sentiasa komited supaya masyarakat Malaysia mengutamakan perancangan kewangan untuk kelangsungan pendidikan tinggi anak-anak.

Norliza berkata, menjadi hasrat PTPTN untuk mentransformasikan minda masyarakat daripada hanya bergantung kepada pinjaman kepada membudayakan penabungan agar anak-anak tidak dibelenggu hutang selepas tamat pengajian.

Pembukaan akaun atau penambahan simpanan boleh dibuat secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN dengan lebih mudah, cepat dan selamat.—AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading