Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

SEMUA KERAJAAN NEGERI DIGALAKKAN BERI SUMBANGAN SSPN-i KEPADA BAYI BARU LAHIR

DALAM NEGARA

SEMUA KERAJAAN NEGERI DIGALAKKAN BERI SUMBANGAN SSPN-i KEPADA BAYI BARU LAHIR

JOHOR BAHRU: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menggalakkan kerajaan-kerajaan negeri memberikan sumbangan kepada para bayi yang baru lahir menerusi tabungan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setakat ini, hanya tiga negeri yang sudah berbuat demikian iaitu Johor, Perak dan Melaka.

Beliau berkata di Johor, seramai 350 bayi sudah menerima pemberian insentif tabungan SSPN-i iaitu sebanyak RM50 secara ‘one-off’ daripada kerajaan negeri menerusi Dana Didik Harapan Johor.

“Kami (PTPTN) menggalakkan kalau boleh semua kerajaan negeri sama-sama menyahut penabungan bayi seawal usia satu hari (boleh buka akaun) dan ia merupakan satu daripada aspirasi PTPTN.

“Kami mahu kerajaan negeri yang lain mencontohi langkah baik ini untuk membuat sumbangan kerana bayi-bayi ini merupakan aset bagi pembangunan modal insan,” katanya kepada pemberita selepas program walkabout Dana Didik Harapan Johor di Hospital Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) PTPTN Mastura Mohd Khalid dan Pengurus Kanan Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) Mohamad Zeen Watak.

Sementara itu, Ahmad Dasuki berkata Dana Didik Harapan Johor merupakan inisiatif kerajaan negeri Johor melalui YPJ dengan kerjasama PTPTN, Jabatan Kesihatan negeri dan Jabatan Pendaftaran negeri.

Beliau berkata tahun ini, seramai 1,000 bayi baru lahir dalam kalangan ibu bapa berpendapatan di bawah RM7,000 berpeluang menerima insentif sebanyak RM100 menerusi Dana Didik Harapan Johor, berbanding RM50 pada 2018 dan 2019.

“Justeru, kami menggalakkan ibu bapa yang mempunyai bayi baru lahir pada tahun ini untuk membuat tuntutan dengan segera. Borang permohonan boleh didapati di semua wad bersalin hospital kerajaan, YPJ, PTPTN negeri dan Jabatan Kesihatan negeri,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Dasuki berkata sehingga 31 Dis lepas, PTPTN mempunyai seramai 4.39 juta pendeposit SSPN-i dengan melibatkan jumlah tabungan sebanyak RM5.88 bilion.

“Di Johor sahaja kami mempunyai 471,000 pendeposit dengan melibatkan jumlah tabungan sebanyak  RM393 juta,” katanya. — BERNAMA


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Mohammad Zaim Bin Nor Zamani, Ketua Unit Kandungan Digital TV AlHijrah.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading