MISI KEDUA BAWA PULANG 75 RAKYAT MALAYSIA DARI WUHAN, SELASA INI: TPM

PUTRAJAYA: Seramai 75 warganegara Malaysia dan pasangan serta anak mereka yang terkandas di Wuhan, wilayah Hubei, China, susulan wabak COVID-19 di negara itu, dijadual dibawa pulang melalui penerbangan khas AirAsia, Selasa ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata Kementerian Luar dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama AirAsia sedang menguruskan butiran mengenai misi kedua tersebut.

”Misi kedua akan diuruskan sama seperti misi pertama. Saya difahamkan mereka berdepan dengan masalah logistik kerana Lapangan Terbang Antarabangsa Tianhe Wuhan jauh dari tempat mereka.

”Kalau mereka tidak ada pengangkutan, ia sedikit memberi kekangan,”  katanya pada sidang media selepas mempengerusikan  mesyuarat khas Jawatankuasa Tertinggi, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) Kluster Penyakit COVID-19 di sini, hari ini.

Beliau berkata sama seperti misi pertama, sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semua penumpang akan melalui saringan kesihatan di Unit Kecemasan Udara (ADU) sebelum dihantar ke Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) untuk proses pemantauan selama 14 hari.

Misi yang pertama digerakkan kerajaan Malaysia pada 4 Feb lalu berjaya membawa pulang 107 daripada 141 orang yang terkandas di wilayah Hubei, terdiri daripada 88 rakyat Malaysia dan 19 lagi adalah pasangan serta anak mereka yang bukan warganegara. — BERNAMA

Leave a Reply