MAKKAH: Satu lagi kes kematian jemaah haji Malaysia bagi musim haji 1446 Hijrah di Tanah Suci direkodkan menjadikan jumlah keseluruhan sembilan orang setakat ini, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Allahyarham Syed Baharom Syed Hussin, 72, yang sempat menyempurnakan rukun haji iaitu berwukuf di Arafah disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.
“Allahyarham yang berasal dari Alor Setar, Kedah menerima rawatan awal di Khemah Mina sebelum dibawa ke Hospital Mina Al Wadee, Arab Saudi dan menghembuskan nafas terakhir pada 4.53 pagi, Sabtu, 7 Jun 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd Na’im, badal haji tidak akan dilakukan buat Allahyarham Syed Baharom Syed Hussin memandangkan Allahyarham sempat menyempurnakan rukun haji iaitu wukuf di Arafah.
Dalam pada itu, jelasnya pihak Tabung Haji telah memaklumkan berita pemergian kepada waris di Malaysia selain turut merakamkan ucapan takziah serta mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Tabung Haji dalam kenyataannya juga menegaskan komitmen untuk terus memantau kesihatan jemaah serta menasihatkan jemaah agar menjaga kesihatan dan tidak memaksa diri, terutamanya dalam melaksanakan ibadah seperti melontar jamrah di bawah cuaca panas ekstrem. —AlHijrah Online