SERAH KEPADA KEBIJAKSANAAN YDPA UNTUK MEMBUAT KEPUTUSAN – ANWAR

KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengesahkan beliau telah mempersembahkan dokumen sahih mengenai majoriti kukuh ahli Parlimen yang menyokongnya kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

Anwar kini meminta semua pihak bersabar dan menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan yang terbaik untuk masa depan negara.

“Sebagaimana yang saya janjikan pada sidang akhbar 23 September lalu telah saya tunaikan hari ini dengan mempersembahkan dokumen sahih mengenai majoriti kukuh Ahli Parlimen yang menyokong saya kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Sebagai hamba Allah yang insaf dengan segala ujian yang saya lalui, saya dengan rendah diri memanjatkan setinggi kesyukuran kepada Allah swt kerana di atas Rahmat dan Hidayahnya memberi kekuatan, kesabaran dan iltizam untuk saya meneruskan perjuangan membela agama, bangsa dan negara tercinta ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Anwar juga memaklumkan Al-Sultan Abdullah akan memanggil ketua-ketua parti bagi mengesahkan dokumen sokongan terhadapnya. — AlHijrah Online.

Leave a Reply